Bertemu sekali lagi, ekor Harimau Selatan bongkar keyakinan JDT tewaskan Kawasaki Frontale kempen ACL 2023


  • Podium
  • Sabtu, 02 Sep 2023

Barisan pemain JDT dalam saingan ACL musim lepas. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) sekali lagi diundi bersama juara dua kali Liga Juara-Juara Asia (ACL), Ulsan Hyundai FC dan kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I saingan ACL musim ini.

Musim lalu, ketiga-tiga pasukan itu turut berada dalam Kumpulan I yang mana skuad Harimau Selatan muncul juara kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati.

Satu lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan I adalah naib juara Liga 1 Thai musim lalu, BG Pathum United FC.

Jika melihat kepada sejarah di pentas ACL musim lalu dan prestasi semasa JDT dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, tidak mustahil skuad kendalian Esteban Solari itu mampu melepasi cabaran peringkat kumpulan I ACL.

Berikutan perkara itu, menerusi satu perkongsian daripada penyokong Harimau Selatan di laman Facebook mengatakan bahawa pasukan kendalian Esteben Solari mampu untuk melepasi cabaran peringkat kumpulan sekali gus merangkul kejuaraan musim ini.

Menurutnya, ketika tewas kepada Kawasaki Frontale musim lepas, JDT tidak menurunkan pemain utama antaranya Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Shahrul Saad dan Feroz Baharuddin.

ACL

JDT ketika menentang Ulsan Hyundai FC ACL musim lepas. — Facebook/JDT

Bekas pengendali JDT ketika itu, Benjamin Mora meletakkan penyerang, Bienviedo Maranon untuk bermain di posisi tengah menyerang dan tentunya Maranon dilihat kekok dan percaturan Mora tersebut yang tidak menjadi.

Tambahnya lagi, Jordi Amat juga tidak berada dalam senarai tersebut malah penyerang muda JDT, Arif Aiman hanya diturunkan bermain pada 10 minit terakhir pada perlawanan itu.

Mora ketika itu dilihat merehatkan pemain tonggak dan bekerja keras dalam perlawanan terakhir kumpulan bertemu Ulsan Hyundai.

"Fernando Forestieri hanya dimainkan di 45 minit pertama sahaja, kemudian digantikan dengan Hazwan Bakri. Mauricio bermain 30 minit dan digantikan dengan Aidil Zafuan.

"Afiq Fazail dan Matt Davies juga tidak bermain penuh serta beberapa pemain tonggak lain turut direhatkan," katanya dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, perancangan, percaturan serta taktikal tersebut tidak sia-sia dan JDT berjaya ke pusingan 16 terbaik ACL 2022.

Berbeza dengan pasukan musim ini, JDT memiliki kelebihan kerana mempunyai barisan pemain yang cukup berkualiti pada 19 September ini.

Meskipun Forestieri dalam proses akhir pemulihan ketika ini, difahamkan sempat cergas sepenuhnya sebelum bertemu Kawasaki Frontale.

Susulan itu, JDT kena bersedia untuk menurunkan pemain yang berkebolehan beraksi seperti Heberty Fernandes dan Diogo Luis Santo sekiranya Forestieri tidak sempat mencapai tahap kecergasan yang diperlukan untuk perlawanan besar ini.

Manakala kecederaan yang dialami oleh Leandro pula dikhabarkan akan mengambil masa yang lama untuk pulih dan dikhabarkan kekosongan itu bakal diisi oleh Juan Muniz atau Kunimoto.

Pastinya, Juan Muniz tidak mempunyai masalah kerana dilihat sudah serasi dengan pasukan JDT berbeza dengan import Jepun itu yang masih dalam proses keserasian bersama rakan sepasukan dan keserasian terhadap falsafah permainan JDT.

Oleh itu, kehadiran import baharu Harimau Selatan itu pastinya mampu membantu pasukan JDT merangkul kejuaraan musim ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram