Debaran final Piala FA, kenali 5 pemain KL City FC pernah robek gawang JDT


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Zhafri (kanan) bersama Bojan meraikan kejayaan menjulang Piala Malaysia Edisi Ke-100 pada 2021.

AKSI final Piala FA 2023 pada Sabtu ini antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pastinya merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air.

Di atas kertas, skuad Harimau Selatan sememangnya menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan tersebut lebih-lebih lagi kelab gergasi itu akan beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail (SSI), Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, rekod menang kesemua perlawanan diharungi dalam Liga Malaysia termasuk tiga kemenangan tanpa bolos untuk menuju ke final pastinya menguatkan lagi jangkaan tersebut.

Apatah lagi, KL City FC dilihat gagal untuk menandingi JDT dalam kedua-dua aksi liga pada musim ini apabila bukan sahaja tewas 0-3 dalam pusingan pertama pada 1 Mac lalu di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, malah mencatatkan kekalahan besar 1-6 dalam aksi pusingan timbal balik di SSI.

Namun, perlu diingatkan bahawa pentas final bukanlah sama seperti aksi liga.

Ini kerana terdapat pelbagai faktor dan kemungkinan boleh berlaku ketika sepanjang tempoh permainan.

Lebih-lebih lagi, skuad Warga Kota yang ketika itu sudah dikendalikan Bojan Hodak mempunyai rekod pernah mengalahkan JDT 2-0 dalam pentas final Piala Malaysia Edisi Ke-100 pada 2021.

Pada masa sama, meskipun hanya menang hanya satu daripada tujuh aksi bersama JDT sejak 2021, namun KL dilihat pasukan yang agak konsisten mampu menembusi gawang JDT melalui lima jaringan.

Berikut Majoriti senaraikan lima pemain KL City FC yang pernah menjaringkan gol ketika bertemu Harimau Selatan:

1. Matko Zirdum

Dalam aksi pusingan kedua Liga Super 2023 menentang JDT di SSI pada 3 Julai lalu, skuad Warga Kota gagal memberikan saingan yang lebih bermakna apabila tewas besar 1-6 dalam perlawnan yang berlangsung di tempat lawan.

Bagaimanapun, terdapat sedikit aspek positif dalam perlawanan tersebut apabila KL City berjaya membolosi gawang skuad Harimau Selatan yang sangat sukar untuk ditembusi pada musim ini apabila hanya sekadar bolos tiga gol selepas 17 perlawanan.

Satu gol sagu hati itu diperolehi daripada pertahanan importnya yang berjaya memanfaatkan peluang hasil daripada situasi kelam kabut yang berlaku di hadapan pintu gol lawan.

Jaringan yang diperolehi selepas ketinggalan 0-4 itu berpunca selepas skuad Warga kota mendapat sepakan penjuru pada minit ke-51 perlawanan.

Zirdum yang merupakan pertahan import dari Croatia mula tonggak utama KL City sejak 20 Mei lalu apabila membuat penampilan dalam tujuh daripada lapan perlawanan terakhir pasukan.

Dia juga adalah kesebelasan utama ketika perlawanan suku akhir Piala FA menentang Sabah FC pada 28 Mei lalu dan separuh akhir semasa melawan Terengganu FC pada 25 Jun lalu.

2. Romel Morales

Romel Morales has scored three goals in the Malaysia Cup so far for Kuala Lumpur. - Photo by Kuala Lumpur City FC

Morales (depan) terus menjadi pilihan utama untuk membarisi skuad Warga Kota dan berjaya merekodkan empat jaringan dan satu bantuan gol dalam 14 perlawanan yang diharungi.

Sejak tiga musim lalu, pemain tengah menyerang kelahiran Colombia, Romel Morales berjaya menempatkan diri sebagai tonggak utama pasukan KL City FC.

Malah, dia yang baru berusia 25 tahun itu juga pernah menyumbat gol ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super 2021 dalam aksi di gelanggang sendiri bagi membolehkan pasukannya mengikat JDT 1-1.

Jaringan yang diperolehi itu terhasil selepas Romel berjaya melepasi perangkap ofsaid barisan pertahan JDT apabila menerima hantaran dari Fakrul Aiman sebelum melakukan rembatan dari kaki kanan menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-2 masa tambahan separuh masa pertama.

Pada musim ini, Morales terus menjadi pilihan utama untuk membarisi skuad Warga Kota dan berjaya merekodkan empat jaringan dan satu bantuan gol dalam 14 perlawanan yang diharungi.

3. Izreen Izwandy

Dalam pusingan kedua Liga Super 2021, KL City FC hanya tewas tipis 1-2 di tangan JDT meskipun beraksi di SSI.

Jaringan tunggal diperolehi skuad Warga Kota itu terhasil daripada gerakan cantik yang dimulakan daripada sepakan penjuru diambil oleh penyerangnya, Safee Sali yang membuat hantaran pendek kepada Arif Shaqirin.

Arif kemudiannya melorongkan bola ke arah tengah kotak penalti dengan menggunakan kaki belakang sebelum disudahkan oleh pemain tengah KL City FC, Izreen Izwandy yang membuat rembatan leret kaki kiri ke penjuru kanan gawang sekali gus menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Gol tersebut membuktikan bahawa KL City mempunyai kebolehan yang agak baik untuk menghasilkan gol daripada situasi bola mati.

4. Zhafri Yahya

KL player Zhafri Yahya clear the ball from JDT striker Bergson Gustavo Silveira during the Malaysia cup final at National stadium in Bukit Jalil yesterday..—30/11/2021/s.s.kanesan/The star

Zhafri depan ketika aksi Final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pemain tengah, Zhafri Yahya merupakan antara watak utama yang membantu skuad Warga Kota bagi mencipta sejarah dengan merangkul Piala Malaysia Edisi Ke-100.

Jaringan pertamanya dalam perlawanan akhir pada minit ke-65 ketika aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2021 itu ternyata memberikan keyakinan kepada pasukan untuk menewaskan JDT yang ketika itu sudah pun dinobatkan sebagai juara Liga Super 2021.

Gol tersebut dilihat merupakan antara titik perubahan penting untuk memberikan KL City kelebihan dan memberikan tekanan kepada pasukan JDT yang ketika itu dikendalikan Benjamin Mora.

Jaringan itu terhasil apabila Zhafri yang ketika itu berada di bahagian kiri kotak penalti berjaya lepas daripada kawalan pertahanan JDT, Corbin Ong dan dengan tenang menyudahkan hantaran lintang dibuat oleh J Partiban dari kiri padang.

Pada musim ini, dia terus menjadi pilihan Bojan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama apabila ditampilkan dalam 13 perlawanan sebagai pemain tengah pasukan.

5. Paulo Josue

Standing out: Kuala Lumpur's Paulo Josue (left) is one of the naturalised players who have impressed Sathia. - Bernama

Paulo (kiri) kini merupakan pemain naturalisasi negara.

Melengkapkan kemenangan KL City FC pada malam bersejarah itu ialah kaptennya, Paulo Josue yang menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-73.

Dalam aksi tersebut, Paulo yang berada di dalam kotak penalti dengan tenang menggunakan dada bagi mengawal hantaran daripada Ryan Lambert sebelum merembat melepasi Farizal Marlias.

Gol tersebut memadamkan terus harapan JDT untuk kembali bangkit dalam perlawanan tersebut.

Pada musim ini, Paulo yang beraksi di posisi tengah menyerang berjaya menampilkan persembahan yang memberangsangkan apabila merekodkan tujuh gol dan lima bantuan jaringan daripada 17 perlawanan yang diharungi.

Pada masa sama, dia yang menjadi antara pemain terbaharu dinaturalisasikan turut mula membuat debut bersama pasukan Harimau Malaya pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram