Tchetche Kipre pernah bantu Sang Penyu tundukkan JDT aksi final Piala Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 22 Okt 2023

Terengganu berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia 2018 selepas tewaskan JDT. — Agensi

TEKA-TEKI mengenai pasukan yang bakal beraksi dalam peringkat akhir Piala Malaysia 2023 semakin hampir terjawab apabila keempat-empat pasukan yang layak sudah pun memulakan aksi pertama separuh akhir kejohanan tersebut.

Keempat-empat pasukan tersebut adalah juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT), bekas juara Piala Malaysia musim 2018, Perak FC, naib juara Liga Super 2022, Terengganu FC (TFC) dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC.

Melihat kepada keputusan perlawanan pertama separuh akhir tersebut, skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan agregat 4-1, manakala Sang Penyu mempunyai bekalan selesa dengan agregat 2-1.

Dalam pada itu, melihat secara kasar keputusan tersebut, dijangka Harimau Selatan bakal bertemu kembali dengan TFC selepas pernah beradu tenaga dalam saingan Piala Malaysia musim 2018.

TFC 1

Sebahagian aksi pertembungan antara Sang Penyu dan JDT ketika itu. — Agensi

Lima tahun lalu, impian JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia berkecai selepas seri 2-2 dengan TFC dan pasukan pelawat layak ke final dengan agregat 3-2 selepas aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Skuad Sang Penyu layak ke final dengan kemenangan agregat 3-2 selepas kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama di laman sendiri ketika itu.

JDT berada pada kedudukan selesa apabila berjaya mengawal permainan selepas pemain Argentina, Fernando Marquez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40 dan rakan senegaranya Gonzalo Cabrera menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-62 ketika itu.

Bagaimanapun, penyerang berbisa TFC ketika itu, Tchetche Kipre berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-68 dan m-91 untuk meletakkan kedudukan kembali memihak kepada pasukannya.

Bekas Ketua Jurulatih skuad Peteh, Irfan Bakti dilaporkan berkata, kemahuan pemainnya dan disiplin mereka membantu pasukan itu mengatasi kelab bola sepak terbesar Malaysia itu.

Ketika itu, Irfan bijak memilih penjaga, gol Mohd Suffian Rahman yang menampilkan prestasi cemerlang dengan menafikan serangan JDT berkali-kali sepanjang perlawanan.

Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora dilaporkan memohon maaf kepada penyokong kelab itu selepas kegagalan mereka mara ke final Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram