SEJAK dinaturalisasikan penyerang Harimau Malaya, Sergio Ezequiel Aguero tidak menoleh belakang untuk terus menjadi rakyat Malaysia yang berbakti kepada negaranya.
Mula beraksi dalam Liga Malaysia bersama Johor Darul Takzim II (JDT II) pada 2017, Aguero gagal memikat hati pihak pengurusan untuk menandatanganinya selepas tidak berjaya dalam ujian percubaan yang dikendalikan oleh Benjamin Mora.
Tidak berhenti di situ, Aguero akhirnya berjaya memikat hati pihak pengurusan Melaka United untuk menyenaraikannya dalam senarai import pada tahun yang sama.
Selepas daripada itu, pemain berusia 29 tahun itu mula menarik perhatian beberapa pasukan dalam Liga Malaysia seperti Selangor United, Penang FC, Kuala Lumpur Rovers, Perak FC dan terkini Sri Pahang FC.
Bersama Sri Pahang musim ini, Aguero dianggap 'playmaker' utama Fandi Ahmad untuk mengatur serangan ke kubu pertahanan lawan.
Pemain kelahiran Argentina itu juga dilantik sebagai kapten pasukan sekali gus menjadikan dia antara watak utama Tok Gajah memacu Sri Pahang berada dalam kelompok empat terbaik Liga Super setakat ini.
Tangkap layar kapsyen dimuat naik oleh Aguero.
Selepas hampir enam tahun menetap di Malaysia, Aguero kini boleh dikatakan mula fasih bercakap dan menulis dalam Bahasa Melayu.
Ini dibuktikan dengan kapsyen yang dimuat naiknya bersama gambar pasukan Harimau Malaya selepas berjaya menewaskan India dengan keputusan 4-2 pada Jumaat lalu.
"Saya sentiasa berbesar hati dan bangga untuk mewakili Malaysia.
"Terima kasih kepada semua peminat atas sokongan yang luar biasa," katanya dalam Instagram.
Perkongsian Aguero semasa mengambil kelas Bahasa Melayu.
Sebelum ini, Aguero pernah mengambil kelas persendirian untuk memahirkan penguasaan Bahasa Melayunya.
Perkara itu dikongsikan sendiri kapten pasukan Sri Pahang itu di laman media sosial Instagram miliknya yang memperlihatkan dia belajar beberapa ayat mudah yang selalu digunakan dalam kehidupan seharian antaranya Selamat Pagi, Selamat Tengah Hari dan Selamat Malam.
Pengenalan ayat mudah itu merupakan langkah awal dalam proses pembelajaran pemain berusia 29 tahun itu sebelum bakal belajar perkataan yang lebih kompleks dan sukar selepas ini.
Inisiatif yang diambil Aguero itu nyata mendapat pujian daripada peminat bola sepak tanah air yang mana kebanyakannya menganggap pemain kelahiran Argentina itu menghormati kerakyatan yang diberikan dan mahu belajar memahami bahasa kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram