Walaupun 3 tulang belakang TBG hanya tercalon ABK2023, Bobie tetap tumpang bangga


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Bobie (kanan) mempunyai hubungan cukup baik bersama pemain dan barisan kejurulatihan skuad TBG. — Facebook/Perak FC

ANUGERAH Bola Sepak Kebangsaan (ABK) merupakan satu pengiktirafan gilang-gemilang anjuran pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi meraikan sukan itu di peringkat tanah air.

Selain pemain, jurulatih turut berpeluang membawa pulang anugerah berdasarkan penilaian khusus terhadap kebolehan serta sumbangan mereka bersama kelab masing-masing.

Tetapi, seperti kebiasaan, pasukan yang berada di puncak Liga Super dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk membolot pengiktirafan dalam kesemua kategori dipertandingkan.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang pemain serta jurulatih daripada kelab bawahan untuk memasang cita-cita bagi membawa pulang anugerah tersendiri.

Dalam ABK 2023, MFL memberi ruang terhadap sebahagian pemain untuk dicalonkan selepas kehadiran mereka membawa perbezaan buat kelab masing-masing.

395607345_313367438118438_7554869341645671815_n

Yusri hadir dalam kalangan 10 calon untuk Anugerah Jurulatih Terbaik ABK2023. Facebook/MFL

Ini termasuk dua tonggak Perak FC, Luciano Guaycochea dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang memainkan peranan penting untuk menghidupkan semula musim pasukan Utara tanah air itu.

Selain mempunyai karakter berpengaruh di atas padang, kedua-dua pemain terbabit dikatakan tidak pernah lekang dalam mencurahkan keringat buat skuad The Bos Gaurus (TBG) sepanjang musim.

Tidak cukup dengan itu, pengendali kelab tersebut, Yusri Che Lah turut dicalonkan sebagai Jurulatih Terbaik meskipun hanya dilantik pihak pengurusan pada Jun lalu.

Dia yang mengambil peranan tersebut daripada Datuk Lim Teong Kim sememangnya membawa sinar baharu buat pasukan itu dengan personalitinya cukup disenangi pemain dan penyokong.

Kehadiran ketiga-tiga individu berkenaan pastinya diraikan kesemua penyokong Perak FC yang pastinya setuju bahawa sumbangan mereka cukup penting buat pasukan.

2017289

Wan Zack (kanan) dan Luciano merupakan watak utama buat skuad TBG musim ini. Facebook/Perak FC

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin turut berkesempatan memberi ucapan tahniah buat Luciano, Yusri dan Wan Zack atas pencalonan masing-masing.

"Saya bangga walaupun hanya tercalon sahaja. Tiga watak penting dalam kebangkitan Perak FC tahun ini, alhamdulillah," tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

Sejak mengambil alih tampuk pemilikan kelab, Bobie dilihat cukup rapat dengan pemain serta barisan kejurulatihan kelab apabila kerap hadir ketika sesi latihan pasukan.

Di samping itu, keputusannya untuk membuat pelaburan ketika dua jendela perpindahan turut disokong peminat setia Perak FC selepas kelab tersebut berdepan isu kewangan beberapa tahun sebelum ini.

Musim ini, Wan Zack kembali menempa namanya dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air selepas merekodkan satu gol dan dua bantuan jaringan dalam 13 penampilan Liga Super.

2242962

Keputusan untuk menggantikan Teong Kim dengan Yusri adalah cukup tepat. Facebook/Perak FC

Pemain tengah berusia 32 tahun itu dicalonkan dalam kategori Penyerang Terbaik dengan dia bakal berentap bersama beberapa nama besar, seperti Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Bagi Luciano pula, kebolehannya untuk memikul peranan kapten sememangnya cukup penting apabila dia bijak memberi arahan dan semangat buat rakan sepasukan.

Dari segi statistik di hadapan pintu gol, import kelahiran Argentina itu merekodkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam 14 penampilan Liga Super.

Namun, kedua-dua pemain itu dilihat menempa nama masing-masing setelah memberikan sumbangan cukup penting untuk membantu Perak FC ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram