PERAK FC menambah tekanan kepada Kelantan FC yang kini berada pada kedudukan terbawa liga apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) membelasah pasukan itu dengan keputusan 8-0 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Perlawanan ke-23 Liga Super itu juga menjadikan ia adalah kemenangan terbesar Perak pada musim ini dan sekali gus memberi kepuasan kepada penyokong yang hadir ke gelanggang keramat skuad Seladang tersebut.
Pemain import Perak FC, Luka Milunovic mencetak hatrik apabila meledak gol pada minit ke-13, 25 dan 33, manakala penyerang dari Korea Selatan, Seo Seonung menjaringkan gol jaringan gol berganda di minit ke-49 menerusi sepakan penalti dan minit-66
Tiga gol berbaki pula disumbangkan pemain berpengalaman, Wan Zack Haikal (17’); bek tengah, Shivan Pillay (36’) dan ketua pasukan, Luciano Guaycochea juga tidak ketinggalan merekodkan nama sebagai penjaring terakhir buat Perak dalam aksi menentang Kelantan itu.
Milunovic meledak hatrik buat Perak FC ketika aksi menentang TRW. — Facebook/PerakFC
Kemenangan besar kelab Utara tanah air itu ke atas Kelantan sememangnya menimbulkan rasa simpatí terhadap pemain The Red Warriors (TRW) terutamanya kini mereka diibaratkan menjadi mangsa kekejaman pihak pengurusan dek kerana masalah gaji yang masih tidak menemui jalan penyelesaian.
Malah, di hantaran Facebook TBG Super Fan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) interim Perak, Bobie Farid Shamsudin juga melahirkan rasa simpatinya terhadap pemain Kelantan susulan layanan pengurusan Kelantan mengenai isu kebajikan para kakitangan TRW.
Dalam hantaran itu juga, Bobie sepertinya berpuas hati dengan kemenangan besar itu ekoran dapat membalas semula pandangan pemilik Kelantan, Norizam Tukiman ataupun Zamsaham ketika XOX Berhad tampil menjadi pemilik baharu The Bos Gaurus.
“Puas hati aku.. Simpati dengan pemain TRW tapi apa yang berlaku di sana dulu aku simpan lama.. Tahniah Boys.. Terima kasih kepada yang hadir dan juga yang menjerit depan TV.. Alhamdulillah,” tulisnya.
Luahan itu seperti jawapan kepada kritikan yang sebelum ini pernah diberikan Norizam ataupun lebih mesra dengan sapaan Zamsaham, yang mana secara rangkumannya berkisar mengenai pandangannya mengenai penswastaan Perak FC.
Sebanyak 12 nasihat ataupun pandangan yang dimuat naik di laman Facebook peribadi Norizam sebelum XOX Berhad secara sah diumum sebagai pemilik baharu Perak FC pada April 2022.
Tangkap layar nasihat dari Norizam.
“Ada yang bertanya, jadi saya jawab lah sedikit pandangan saya tentang penswastaan kelab Perak FC,pandangan sahaja, tanpa niat mencampuri hal kelab lain. Perak FC Hari ni kita lihat dengan mata sendiri, bagaimana sebuah kelab ternama ditinggalkan. Gaji berbulan-bulan sangkut.
“Satu negeri dikhabarkan. Tiada yg tampil,tiada yg berani mempertaruhkan modal ada yang kata sembang kencang, nak publisiti perniagaan. Nasib pemain belum pasti terbela. Perlu ada yang bela.
“Yang ambik Perak FC. Bersiap sedia lalui liku-liku. Saya tahu bukan mudah nak selamatkan pasukan yang karam,kelab yang berhutang sana sini dan kena dikenakan transfer ban..belum lagi nak set management team yang faham hala tuju visi dan misi baru pasukan.
“Ada yang saya cakap, ada yang disimpan pendam. Yang pemilik sahaja yang tahu susah payah bina sebuah pasukan, liku-liku,” antara petikan dari hantaran dicoret oleh Norizam ketika itu.
Norizam dan Bobie sebelum ini juga pernah 'berperang' di media sosial selepas insiden ‘panas’ aksi Liga Perdana membabitkan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV,
Ketika itu, perlawanan kedua-dua pasukan itu dicemari dengan balingan mercun dan batu selepas perlawanan berakhir dengan kekalahan 1-2 buat skuad TRW yang juga kekalahan pertama mereka di laman sendiri pada musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram