MUSIBAH terus melanda Kelantan FC ketika ini apabila pasukan berkenaan dikhabarkan masih bergelut dengan isu gaji dan kebajikan pemain.
Keputusan pihak pengurusan untuk memindahkan pusat latihan menerima pandangan cukup berbeza daripada penyokong meskipun Ketua Pegawai Eksekutif TRW, Ahmad Muzakkir Hamid tampil memberikan jawapan.
Pada mereka, alasan mengenai kegagalan pasukan untuk membayar sewa padang latihan sukar diterima sehingga mereka mendesak pemilik kelab, Norizam Tukiman supaya meninggalkan posisinya.
Jadi, tidak hairanlah apabila sambutan kurang hangat dapat dirasakan menjelang aksi Liga Super menentang skuad The Bos Gaurus (TBG) di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Selain sudah muak dengan isu pengurusan, mereka juga tidak tertarik untuk hadir memberikan sokongan memandangkan skuad The Red Warriors (TRW) kini berada di tangga tercorot liga.
Kekalahan 0-10 kepada JDT merupakan antara titik terburuk Kelantan FC musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Situasi berkenaan sememangnya sukar diterima memandangkan Kelantan FC merupakan salah sebuah pasukan dengan jumlah penyokong yang cukup tinggi pada tahun-tahun sebelum ini.
Ia pastinya menjadi satu perbezaan berbanding tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya ketika kelab Pantai Timur terbabit merupakan pasukan terbaik dalam Liga Super.
Antara tahun kemuncak bagi skuad TRW adalah pada 2013 selepas mereka baru sahaja muncul sebagai juara 'treble' pada tahun sebelumnya.
Kehangatan cukup dirasai sepanjang musim, lebih-lebih lagi setelah skuad TRW mengesahkan slot dalam perlawanan akhir Piala Malaysia berdepan seteru Pantai Timur, Pahang FA.
Selepas muncul juara Piala FA, penyokong Kelantan FA dilihat cukup ghairah untuk melihat pasukan berkenaan meraih satu lagi kejayaan domestik.
Final Piala Malaysia 2013 menyaksikan pertemuan dua gergasi Pantai Timur negara.
Meskipun mengetahui kebolehan skuad Tok Gajah, peminat setia pasukan itu seperti cukup yakin akan kemampuan pemain serta ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Kehangatan dapat disaksikan di merata tempat, termasuk dada akhbar yang tidak henti-henti menceritakan mengenai kualiti dimiliki Kelantan FA.
Siaran-siaran radio juga dilihat kerap membincangkan mengenai kebolehan skuad TRW yang ketika itu menduduki puncak bola sepak tempatan.
Walaupun Kelantan FA akhirnya tewas di peringkat akhir dengan keputusan 0-1 hasil jaringan Matias Conti, ia tidak mematikan semangat penyokong daripada terus mencurahkan kasih sayang masing-masing.
Namun, siapa sangka, 10 tahun kemudian, pasukan berkenaan boleh dianggap sebagai satu 'kegagalan' sehingga sukar diterima pengikut bola sepak tanah air.
Catatan rekod, isu pengurusan serta kebajikan merupakan antara hal-hal yang terus membelenggu skuad TRW dengan ia dilihat semakin sukar untuk mereka mencari jalan penyelesaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram