DENGAN hanya kira-kira empat perlawanan berbaki buat setiap pasukan, Liga Super 2023 dilihat sudah semakin hampir melabuhkan tirainya.
Seperti mana dijangka awal musim lalu, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat cukup mudah membawa pulang kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut.
Meskipun memiliki rekod cukup baik, ia tidak menandakan pasukan-pasukan lain tidak memberi cabaran dengan tahap kompetitif liga dilihat sudah semakin baik.
Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC boleh dianggap sebagai pencabar takhta musim ini meskipun masing-masing berdepan cabaran tersendiri.
Dari segi pemain pula, kebergantungan pasukan terhadap import sememangnya masih tidak luntur, lebih-lebih lagi apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meningkatkan kuota ke sembilan pemain berbanding lima musim lalu.
Tetapi, di sebalik lambakan pemain luar negara itu, terdapat juga sebilangan bintang-bintang tempatan yang terus mempamerkan bakat masing-masing.
Penyerang JDT, Arif Aiman Hanapi serta tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal Halim boleh diangkat sebagai dua pemain lokal yang berada dalam tahap tersendiri.
JDT hanya menunggu hari untuk menjulang trofi Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut. — Bernama
Jadi, ia seolah-olah menceritakan bahawa Liga Super sudah melangkah ke tahap baharu dengan harapan ia akan dapat menarik lebih ramai penonton untuk setiap perlawanan.
Bagaimanapun, di sebalik berita gembira itu, terdapat sedikit rasa kurang senang apabila masih terdapat kontroversi menyelubungi bola sepak tempatan.
Meskipun ia sukar dielak, isu-isu sebegini dilihat hanya merosakkan imej Liga Super yang dalam momentum cukup baik untuk dibandingkan dengan liga-liga elit sekitar Asia.
Sekiranya isu-isu berkenaan dibiarkan tanpa penyelesaian, hal itu dikhuatiri akan menjadi 'barah' sehingga sukar diselamatkan pada masa akan datang.
Lebih mengecewakan lagi, kekurangan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan perkara sama pernah terjadi sebelum ini, termasuk pada musim 2022.
Melihat kepada laporan media, terdapat isu sama yang dilihat berulang sehingga mengurangkan tarikan peminat bola sepak untuk menyokong sukan itu di peringkat tempatan.
1. Isu gaji
Perbincangan mengenai isu dalaman Liga Super musim ini sememangnya berkisar akan masalah tunggakan gaji yang dilihat kian merebak dalam kalangan pasukan.
Pada 2022, isu tersebut difahamkan hanya dihadapi Melaka United dan Sarawak United meskipun beberapa perkhabaran mengatakan ada yang lain turut mengalaminya.
Namun, situasi tersebut segera diselesaikan pihak pengurusan kelab dalam usaha mengelak reputasi masing-masing tercalar di dada akhbar.
Daud Bakar (kanan) mendedahkan KDA FC mengalami isu kewangan. — Stadium Astro
Tetapi, musim ini, laporan semasa menyebut kira-kira enam pasukan Liga Super mengalami isu kewangan sehingga menjejaskan persembahan pemain di atas padang.
Pendedahan daripada pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan Kelantan FC, Norizam Tukiman mengesahkan bahawa kedua-dua kelab berkenaan berdepan isu demikian.
Selain itu, khabar angin mengatakan perkara itu turut dialami Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC, namun masih tiada penjelasan mengenainya.
Jika perkara tersebut berterusan, terdapat kemungkinan imej Liga Super akan terus terjejas dengan penyokong akan semakin muak untuk memberikan komitmen masing-masing.
2. Mutu pengadilan
Isu pengadilan bukanlah sesuatu yang baharu dalam Liga Super apabila masalah terbabit pernah dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, musim ini, pelbagai insiden berkaitan mutu pengadilan dibangkitkan sehingga menyebabkan amarah dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai masalah berkenaan adalah ketika pertemuan Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas, Sabah pada 17 Mei lalu.
Zulkarnain (kanan) menjadi topik perbualan hangat ketika aksi Liga Super antara Sabah FC dan Penang FC. — Bernama
Perlawanan yang diadili Zulkarnain Zakaria itu menyaksikan skuad Sang Badak diberikan kira-kira tiga sepakan penalti dengan keputusan dibuat cukup samar.
Insiden itu kemudiannya menyaksikan pihak pengurusan Penang FC membuat aduan rasmi kepada badan penganjur sehingga pengadil berkenaan digantung daripada tugasnya.
Meskipun sudah berkali-kali dipertikaikan, isu berkaitan mutu pengadilan seperti tidak berpenghujung dengan penyokong semakin muak untuk melihatnya.
Bagi mereka, penyelesaian segera yang boleh diambil adalah dengan melantik pengadil luar kerana penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) masih sukar dilaksanakan.
3. Mutu padang
Kualiti fasiliti dalam kancah bola sepak memainkan peranan cukup penting untuk menarik lebih ramai penonton supaya turun ke stadium pada hari perlawanan.
Tetapi, dalam landskap Liga Super, penjagaan fasiliti seperti masih kurang diberikan perhatian, lebih-lebih lagi mengenai isu padang.
Musim lalu, masalah tersebut pernah didengari sebelum aksi antara Negeri Sembilan FC dengan KDA FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sehingga memaksanya untuk ditangguhkan.
Pemain Sabah FC dan Kuching City FC beraksi di atas padang yang berlecak awal musim lalu. — Facebook/MFL
Walaupun terdapat beberapa usaha untuk mengelaknya daripada berlaku, hal sama masih berlaku, lebih-lebih lagi ketika hujan lebat turun semasa perlawanan.
Hal itu dapat disaksikan ketika pertemuan antara Kuching City FC dan Sabah FC di Stadium Negeri, Sarawak apabila segelintir penyokong melabel keadaan padang tidak ubah seperti 'bendang'.
Selain itu, masalah pengaliran turut dialami apabila beberapa perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan terpaksa dilewatkan atau ditangguhkan.
Sekiranya kelab-kelab Liga Super bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya, perbincangan bersama pihak berkaitan boleh diambil sebelum permulaan musim 2024.
4. Pergaduhan penyokong
Masalah 'hooligan' dalam dunia bola sepak bukanlah sesuatu yang dihadapi dalam negara sahaja apabila ia juga kerap berlaku dalam liga lebih besar.
Tetapi, ia bukanlah alasan untuk memberikan peluang buat penyokong membuat kekacauan sehingga mengganggu keharmonian antara satu sama lain.
Lebih merisaukan lagi, isu tersebut turut dikhuatiri akan mencetuskan kerugian terhadap pasukan selain menyebabkan kecederaan terhadap mereka yang tidak bersalah.
Musim lalu, pergaduhan berlaku ketika aksi Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan dengan sebilangan daripada mereka memasuki kawasan permainan.
Insiden sama turut disaksikan pada musim ini ketika skuad The Bos Gaurus (TBG) menerima kunjungan Selangor FC untuk aksi Liga Super 20 Mei lalu.
Situasi itu menyaksikan beberapa penonton ditahan pihak berkuasa dengan ia turut diharapkan dapat menjadi pengajaran buat orang ramai.
Namun, harapan berkenaan tidak kesampaian apabila pertemuan antara KDA FC dan Penang FC di Stadium Bandaraya di Pulau Pinang turut menyaksikan hal sama berlaku.
Pihak pengelola perlu mencari inisiatif terbaik untuk mengelak hal itu berulang dengan perkara sebegitu hanya akan menyebabkan jumlah kehadiran penyokong merosot bagi setiap perlawanan pada masa akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram