Terpaksa makan mi segera antara punca Kelantan lemah, mudah tunduk di tangan skuad TBG


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Sebahagian aksi menarik ketika penyerang Kelantan, Fazrul Amir cuba mengawal bola. — Facebook/MFL

KELANTAN FC terus menjadi pasukan belasahan apabila ditewaskan 0-8 ketika bertembung dengan Perak FC dalam saingan Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Kekalahan itu dilihat cukup sebati dengan pasukan tersebut apabila hanya mencatatkan dua kemenangan dalam 22 perlawanan liga berlangsung.

Bagaimanapun, kekalahan itu juga sering dikaitkan dengan masalah dalaman yang berlaku iaitu isu pemain tidak dibayar gaji.

Dalam pada itu, salah seorang pemain The Red Warriors (TRW) berkongsi satu hantaran di media sosial seolah-olah memberi bayangan bahawa kekalahan tersebut berpunca daripada isu tunggakan gaji.

Baru-baru ini, pertahanan kiri Kelantan, Yusri Yuhasmadi memuat naik satu hantaran di Instagram yang menunjukkan punca utama kekalahan di tangan skuad The Bos Gaurus (TBG).

WhatsApp Image 2023-10-30 at 20.24.24

Tangkap layar hantaran tersebut memaparkan pemain Kelantan menikmati mi segera. — Instagram/yuss.5

Dalam hantaran itu, Yusri dilihat berkongsikan rutin harian pasukan tersebut iaitu hanya menikmati hidangan mi segera setiap hari.

"Macam mana nak gagah kalau makan mi segera setiap hari," katanya di Instagram.

Sebelum ini, menerusi perkongsian di Instagram salah seorang pemain muda Kelantan, pasukan itu dilihat sedang menghadapi isu lain yang menjadi punca utama prestasi kelab itu merosot.

Dalam perkongsian di media sosial itu, selain isu tunggakan gaji, masalah lain yang turut terpalit adalah ketiadaan air, padang latihan dan dikhabarkan pasukan itu ketika ini berdepan dengan kekurangan pemain.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan, Ahmad Muzakkir Hamid sudah memberi penjelasan mengenai gangguan bekalan air yang berlaku adalah disebabkan oleh kerosakan pam air dan ketika kejadian itu sedang dibaik pulih oleh pihak kontraktor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram