'Mereka faham, ikut perancangan', Yusri Che Lah lebih bersedia berdepan JDT


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Sebahagian aksi pemain Perak FC merobek pintu gawang Kelantan FC. — Facebook/MFL

PENGENDALI Perak FC Yusri Che Lah mahu anak buahnya mengekalkan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Pengendali kelahiran Perlis itu berkata, walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Jesper Nyholm dan Firdaus Saiyadi, pasukannya masih berjaya mengawal perlawanan dengan baik sekali gus memperoleh kemenangan berharga itu.

Yusri berkata, berbaki tiga perlawanan yang bakal dihadapi skuad The Bos Gaurus (TBG) di tempat lawan dan satu di laman sendiri, pastinya bukan tugas mudah selain akan menempuh aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) awal bulan depan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.

"Mereka faham apa harus dilakukan dan mengikut perancangan ditetapkan malah pasukan mendapat tiga mata berharga dengan jurang gol yang cukup besar untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga.

"Saya percaya kemenangan pada Sabtu akan menaikkan semangat mereka bagi menghadapi JDT di SSI namun kita tidak boleh dibuai terlalu lama dan fokus kita akan dialihkan kepada aksi Piala Malaysia pula," katanya.

Pada perlawanan itu, Perak FC ‘membelasah’ Kelantan FC dengan keputusan 8-0 di laman sendiri.

WhatsApp Image 2023-10-29 at 16.42.38

Luka Milunovic mencatat hatrik ketika membantu Perak benam Kelantan. — Facebook/MFL

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera berkata, kebanyakan pemain muda yang ditampilkan masih kurang pengalaman selain pasukan tidak mempunyai pemain yang mampu menguasai permainan.

"Tidak mudah untuk kami beraksi dengan baik dan tentu amat susah untuk pemain-pemain muda dengan minit permainan yang sedikit selain terpaksa berdepan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman termasuk pemain-pemain import.

"Strategi untuk perlawanan seterusnya tetap sama dan kita akan bekerja keras dan bermain semaksimum mungkin dan pemain-pemain tidak salah kerana mereka telah berusaha sepenuh hati untuk pasukan ini, cuma pengalaman yang membezakan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram