'Ini bukan pasukan kedua', Tomi puas hati curi mata di Darul Makmur


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Terengganu FC melepaskan pendahuluan dua gol untuk sekadar seri bertemu Sri Pahang FC. — Facebook/Terengganu FC

PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menganggap keputusan seri bertemu Sri Pahang FC pada Ahad bukanlah sesuatu yang merugikan pasukannya.

Terengganu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tersebut selepas melepaskan pendahuluan dua gol menerusi jaringan berganda Omid Nazari.

Sri Pahang membalas jaringan tersebut dengan dua gol pantas pada penghujung perlawanan menerusi penyudah Rafael da Silva dan Sergio Aguero untuk memastikan Tok Gajah memperoleh satu mata di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Bercakap selepas perlawanan, Steinbruckner berasakan keputusan seri itu adalah baik kerana bukan mudah untuk menewaskan Sri Pahang di laman mereka.

397258727_320615947346513_2882684224449734108_n

Sardor Kulmatov antara pemain yang diturunkan Steinbruckner menentang Sri Pahang. — Facebook/Terengganu FC

"Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Di separuh masa pertama, kami menjaringkan satu gol dan mendominasi dan saya rasa kami mencipta empat, lima, enam situasi yang baik dan kami mengawal dengan baik.

"Separuh masa kedua selepas mendapatkan dua gol, kami turut bermain baik tetapi Sri Pahang menjaringkan gol dari jarak jauh. Mungkin keputusannya nampak tidak elok kerana kami mendahului dua gol kemudiannya menjadi 2-2. Tetapi, Sri Pahang adalah pasukan yang bagus dan ini adalah keputusan yang baik kami dapat dari sini," kata Steinbruckner.

Melihat kepada pemain-pemain yang diturunkan, pengendali dari Croatia itu turut mengatakan mereka bukanlah pilihan kedua ada skuad B.

Sebaliknya, Steinbruckner melakukan penggiliran pemain selepas mengharungi jadual padat melibatkan pertandingan tempatan dan antarabangsa.

396706072_320615550679886_2929714429794843820_n

Steinbruckner tetap puas hati walaupun pasukannya tidak menang — Facebook/Terengganu FC

"Ini bukan pasukan kedua. Saya jelaskan kepada para pemain ramai kesebelasan utama bermain dalam banyak perlawanan musim ini. Saya anggap semua pemain adalah penting.

"Kita tak boleh pakai pemain yang sama untuk semua perlawanan kerana kita bermain dalam Piala Malaysia dan Piala AFC. Dalam perlawanan ini, saya turunkan Liridon Krasniqi, Argzim Redzovic dan Sardor Kulmatov. Ini bukan pasukan kedua, ini juga pasukan pertama Terengganu. Kami lakukan penggiliran pemain dan kami bermain baik," ujar Steinbruckner.

Keputsan seri ini membuatkan Terengganu menduduki tangga keenam Liga Super dengan 36 mata. Mereka kini berkelebihan lima mata di depan Kuala Lumpur City yang menduduki tangga ketujuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram