Permainan semakin meningkat, sudah tiba masa Syahmi Zamri dipanggil sertai Harimau Malaya


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Syahmi Zamri menarik perhatian ramai dengan persembahan cemerlangnya bersama Terengganu. — Facebook/Terengganu FC

PERJALANAN menuju ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024 semakin hampir.

Walaupun pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah mempunyai bayangan skuadnya yang akan dibawa ke Qatar namun pintu masih belum tertutup untuk beberapa pemain cuba mendapatkan tempat.

Masa semakin suntuk, jadi semua pemain perlu melakukan persembahan cemerlang untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan bersama-sama kelab mereka.

Satu nama yang menjadi sebutan ketika ini adalah penyerang muda Terengganu FC iaitu Syahmi Zamri.

Syahmi pada asalnya merupakan pemain Terengganu FC II namun kebelakangan ini kerap dipanggil oleh Tomislav Steinbruckner untuk beraksi bersama pasukan utama.

396701023_320475170693924_6352831600514308359_n

Syahmi beraksi ketika Terengganu bertemu Sri Pahang di Kuantan. — Facebook/Terengganu FC

Dan hasilnya tidak mengecewakan, pemain ini berterusan menunjukkan persembahan baik apabila menyumbat gol penting ketika bertemu Selangor FC di Piala Malaysia serta Bali United dalam saingan Piala AFC.

Kini, sudah mula muncul cakap-cakap yang inginkan nama Syahmi dipanggil oleh Pan-gon menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027 yang akan diadakan pada November kelak.

"Aku tengok dia ini main sedap, pelik kenapa Kim Pan-gon tak nampak dia," kata penyokong bernama Amrlazani.

"Kawalan bola pun sedap oi!," komen Apik Apkar pula.

"Syahmi dan Ubaidullah Shamsul boleh dicuba untuk perlawanan November ini," cadang Farriied pula.

379621863_332108089211181_1618374700052362919_n

Gol Syahmi membantu Terengganu menolak Selangor keluar daripada Piala Malaysia. — Facebook/MFL

Namun begitu, ada juga yang berpendapat Syahmi sepatutnya diletakkan dalam skuad bawah 23 tahun (B-23) terlebih dahulu berbanding terus diserap menyertai Harimau Malaya.

"Boleh cuba untuk skuad B-23 dulu," ujar Aimnakrm.

"Sudah lama patut main untuk skuad B-23 negara, perform dari dulu. Tapi tak dipanggil oleh E. Elavarasan," kata penyokong menggunakan nama pena Mrwn Ynwa.

"Jurulatih-jurulatih negara lebihkan pemain berpengalaman, pemain yang meningkat naik jarang dipanggil," komen mhd.erhxn_ pula.

Malaysia akan bertemu Krgyzstan dan Chinese Taipei pada dua perlawanan pertama kelayakan yang dijadualkan pada 16 dan 21 November nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram