TAMATNYA saingan Liga M3 pada musim ini telah memberikan harapan kepada saingan bawahan dalam piramid bola sepak negara.
Dengan Imigresen FC bergelar juara pada hari terakhir, ia memberikan petunjuk yang saingan bawahan ini turut boleh menyajikan drama dan hiburan. Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan drama di Liga M3 lebih menarik daripada apa yang disajikan oleh Liga Super.
Seiring masa, Liga M3 mempunyai misi untuk mengurangkan jurang antara mereka dengan Liga Super terutamanya dari segi kewangan. Jika jurang terlalu besar, maka rugilah jika ada pasukan daripada liga tersebut naik ke saingan tertinggi Malaysia kerana mereka akan kecundang.
Baru-baru ini, muncul cadangan untuk kelab-kelab di Liga M3 boleh mendapatkan pemain-pemain import. Cadangan itu dinyatakan oleh Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi ketika majlis penyerahan trofi kejuaraan kepada Imigresen.
Harini FT (jersi kuning) dan Kuala Lumpur Rovers (jersi biru) merupakan antara pasukan terbaik Liga M3 musim ini. — Facebook/AFL
Yusoff mengatakan cadangan itu telah dihantar ke Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk diperhalusi, namun begitu pakar penganalisis sukan negara menganggap ia bukanlah sebuah idea bernas.
Menurut Datuk Dr Pekan Ramli, cadangan untuk memperkenal pemain import di Liga M3 bukanlah keutamaan yang perlu dilakukan AFL. Hal ini kerana, ia akan mengundang pelbagai krisis kewangan dalam kalangan kelab.
"Sebenarnya ia satu cadangan yang baik sebagai persediaan pasukan amatur ke Liga Super. Tetapi, adakah ia praktikal untuk mendapatkan pemain import yang berstatus profesional beraksi di liga amatur?
"Saya risau jika ia diperkenalkan, ia akan menjadi beban kepada pasukan di Liga M3. Liga amatur sepatutnya mewujudkan keseimbangan dari segi persaingan. Jika diperkenalkan, akan ada pasukan yang mengalami masalah kewangan.
"Saya tak berapa setuju jika kuota pemain import diperkenalkan di Liga M3. Hal ini kerana, nanti akan ada kelab yang ghairah nak dapatkan pemain tapi sebenarnya tak mampu," kata Pekan kepada Majoriti.
SAINS FC merupakan pasukan Liga M3 berpangkalan di Negeri Sembilan. — Facebook/AFL
Pekan menyuarakan kerisauannya mengenai perkara itu selepas melihat isu tunggakan gaji melibatkan pasukan-pasukan bertaraf profesional di Liga Super. Sedangkan di Liga Super pun ada masalah gaji, inikan pula di Liga M3.
Jika di Liga M3, akan timbul masalah yang mana pemain import yang diambil adalah berstatus profesional lantas gaji yang dibayar perlulah di tahap pro sedangkan liga berstatus amatur.
Pada hemat Pekan, cadangan memperkenal pemain import itu haruslah ditangguh dahulu. Fokus yang sepatutnya diberikan adalah memberi lebih masa kepada setiap pasukan menstabilkan kewangan mereka.
"Cadangan ini memerlukan sedikit masa untuk dilakukan. Jika Liga M3 sudah stabil mungkin cadangan itu boleh dicuba. Untuk masa sekarang, tangguhkan dulu, tak rugi pun kalau tiada pemain import.
"Apabila tiada pemain import, pemain tempatan akan lebih menyerlah kerana itulah tujuan asal sesebuah liga amatur iaitu sebagai platform kepada pemain tempatan untuk tonjolkan bakat mereka," tambah Pekan lagi.
Musim ini, Imigresen diangkat sebagai johan Liga M3 selepas memintas Kuala Lumpur Rovers dan Harini FT pada hari terakhir liga.
Mereka berpeluang untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan jika berjaya melepasi syarat pelesenan kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram