Jota angkat jersi Diaz, tunjuk solidariti ibu bapa rakan diculik di Colombia


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Diogo Jota mengangkat jersi Luis Diaz selepas menjaringkan gol untuk Liverpool. — Facebook/Liverpool FC

KEMENANGAN terus datang kepada Liverpool dalam saingan English Premier League (EPL) apabila The Reds dengan mudah menewaskan Nottingham Forest 3-0 di Anfield.

Gol daripada Diogo Jota, Darwin Nunez dan Mohamed Salah memastikan Liverpool terus menekan Manchester City dan Tottenham Hotspur di puncak liga.

Di sebalik kemenangan yang diraih skuad kendalian Jurgen Klopp, terdapat detik sukar yang menyelubungi pasukan tersebut ketika bertemu Forest.

Dan situasi itu terpancar jelas ketika Liverpool memperoleh pembukaan mereka menerusi penyudah Jota. Pemain antarabangsa Portugal itu kemudiannya meraikan jaringan dengan menunjukkan solidariti kepada salah seorang rakan sepasukan mereka.

Jota menayangkan kepada penyokong Liverpool jersi rakan sepasukan iaitu Luis Diaz yang tidak beraksi pada perlawanan tersebut. Tapi kenapa? Apa yang terjadi kepada Diaz hinggakan Jota berbuat demikian?

Sebenarnya, tindakan yang dilakukan oleh Jota itu sebagai tanda solidariti terhadap Diaz yang sedang mengalami masa sukar. Ibu bapa Diaz menjadi mangsa culik di negaranya sendiri iaitu Colombia.

Menurut laporan, ibu bapa Diaz diculik di sebuah bandar bernama Barrancas pada malam Sabtu. Namun begitu, pihak polis Colombia telah mengesahkan yang ibunya telah berjaya diselamatkan.

Akan tetapi, keberadaan bapa Diaz masih menjadi tanda tanya dan pihak polis masih lagi cuba mengesan namun tiada jawapan. Oleh itu, pihak polis telah menawarkan 200 juta pesos atau kira-kira AS$48,000 (RM228,600) kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai bapa Diaz.

Apa yang berlaku ini jelas menganggu Diaz hinggakan Liverpool memberikan pemain tersebut masa untuk kembali ke negara asalnya dan cuba menyelesaikan perkara ini.

Bagi pengurus The Reds, Jurgen Klopp, dia tidak pernah berdepan situasi seperti ini tetapi mengaku semua pihak di kelabnya risau akan keadaan menimpa Diaz.

"Jelas sekali kami terpaksa melakukan perubahan minit akhir kerana sebab peribadi melibatkan Luis Diaz. Ia adalah situasi yang merisaukan buat kami semua dan ini adalah hari yang sukar buat kami.

"Sebelum ini, saya tidak pernah menghadapi situasi ini. Ia adalah pengalaman baharu yang saya tak perlukan," kata Klopp. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram