JIKA ditanya rata-rata penyokong Kelantan FC, mereka pasti mengatakan bekas pemain pertahanan kelab, Daudsu Jamaludin sebagai salah seorang bek terbaik pernah menyarung jersi pasukan itu.
Dia yang memainkan peranan penting ketika zaman kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) sememangnya cukup dikenali dengan kebolehan tersendiri.
Selain cukup bijak dalam membaca gerakan lawan, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan juga berkebolehan untuk beraksi dalam beberapa posisi, termasuk bek tengah dan bek kanan.
Tetapi, hubungannya dengan Kelantan FC terputus pada 2014 apabila dia memilih untuk menyertai Johor Darul Takzim (JDT) yang baru sahaja mengalami perubahan besar beberapa tahun sebelum itu.
Sepanjang dua musim bersama skuad Harimau Selatan, Daudsu berpeluang merasai pelbagai kejayaan, termasuk menjulang Piala AFC 2015 dan dua gelaran Liga Super.
Daudsu menghabiskan dua musim bersama skuad Harimau Selatan bermula 2014.
Pemain yang kini berusia 38 tahun itu kemudiannya memilih untuk kembali ke pangkuan skuad TRW pada jendela perpindahan 2016 dengan kepulangan berkenaan diraikan penyokong mereka.
Dia kemudiannya sempat beraksi bersama beberapa pasukan kerdil tempatan sebelum difahamkan memilih untuk menamatkan kariernya bersama Kelantan United.
Kini, dengan Daudsu tidak bergiat secara aktif dalam bidang bola sepak, dia membuat keputusan menceburi bidang perniagaan demi menyara hidup.
Perkara itu dapat disaksikan menerusi perkongsian di laman TikTok peribadinya dengan bekas pemain kebangsaan tersebut menawarkan khidmat nasihat berkaitan padang sintetik.
Bekas pemain Kelantan, Daudsu Jamaludin kini memberi tumpuan penuh dalam bidang perniagaan padang sintetik.
Semoga dipermudahkan segala urusannya.
Kredit: dawoodsu (TikTok) pic.twitter.com/fg94041wz3
— Majoriti (@majoritionline) October 31, 2023
"Ini merupakan hasil kerjasama rakan-rakan dan saya dalam usaha memastikan negeri Kelantan memiliki padang yang berkualiti dan bersaiz FIFA.
"Kualiti menjadi keutamaan kami, mahu mematikan padang yang terbaik dapat dihasilkan untuk barisan pemain yang turun beraksi di atas padang ini mampu mengelak daripada sebarang kecederaan yang tidak diingini," katanya kepada Astro Arena.
Selain itu, Daudsu juga menguruskan padang di bawah jenama Kopa Arena yang sememangnya cukup terkenal dalam kalangan peminat bola sepak seluruh negara.
Keputusan untuk menceburi bidang perniagaan itu dilihat cukup baik dengan kekurangan sumber rezeki pernah membuatkan bekas pemain bergelut dalam kehidupan masing-masing.
Di samping bergiat aktif dalam dunia tersebut, Daudsu juga beberapa kali kelihatan melibatkan diri dalam perlawanan amal bersama bekas rakan-rakan sepasukannya, seperti Nurul Azwan Roya dan Badhri Radzi. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram