Bukan faktor bola sepak, Daudsu pecah rahsia pindah ke JDT 10 tahun lalu


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Daudsu menghabiskan dua musim daripada kariernya bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

ZAMAN kegemilangan skuad The Red Warriors (TRW) kira-kira 10 tahun lalu berpunca daripada kehadiran bintang-bintang yang cukup cemerlang dalam posisi masing-masing.

Jadi, tidak hairanlah apabila mereka tidak berdepan sebarang masalah untuk menjuarai gelaran 'treble' dengan tiga kejuaraan berjaya dijulang dalam tempoh semusim.

Namun, kesemuanya berubah pada penghujung musim apabila Johor Darul Takzim (JDT) bertindak membawa masuk beberapa tonggak utama Kelantan FC.

Langkah itu dibuat selepas skuad Harimau Selatan memasang cita-cita besar di bawah pemilik baharu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

Antara yang diberi peluang untuk menyertai JDT ketika itu ialah bek kanan Kelantan FC, Daudsu Jamaludin yang merupakan tonggak utama Kelantan FC pada era kegemilangan mereka.

team

Daudsu (bawah, tengah) berpeluang merasai zaman kebangkitan JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain cukup tenang dalam mengendalikan barisan pertahanan, anak jati Kota Bharu, Kelantan tersebut juga berkebolehan untuk membaca gerakan pihak lawan.

Perpindahan berkenaan pastinya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong skuad TRW yang semestinya tidak mahu kehilangan salah seorang pemain terbaik mereka.

Di samping itu, sebahagian yang lain turut mempersoalkan keputusan Daudsu memandangkan dia sendiri sudah mempunyai legasi tersendiri bersama Kelantan FC.

Jadi, untuk menjawab persoalan itu, pemain yang kini sudah bersara itu bertegas bahawa perpindahan berkenaan didorong dengan pandangannya untuk masa akan datang.

"Semasa dengan Kelantan FC, kita sudah bolot kesemua piala. Cuma, seperti kita tahu, karier bola sepak pendek, macam saya lah.

1044358_10151722403208466_704451222_n

Daudsu (kiri) merupakan salah seorang bek kanan terbaik Kelantan FC.

"Jadi, kita pun tidak akan mendapatkan duit pencen. Jadi, inisiatif saya untuk masa depan saya dan keluarga adalah dengan saya pergi kerana peluang sebegitu tidak datang selalu," katanya.

Pendedahan tersebut dibuat Daudsu dalam satu temu bual bersama Qarung Guni Official di TikTok dengan perbualan itu meraih perhatian rata-rata penyokong Kelantan FC.

Selain Daudsu, beberapa bintang skuad TRW lain turut membuat keputusan sama pada musim itu, termasuk Azizi Mat Rose, S Subramaniam serta penyerang utama negara, Norshahrul Idlan Talaha.

Sepanjang keberadaan Daudsu bersama JDT, beberapa kejayaan dapat diraih termasuk kejuaraan Liga Super 2014 dan 2015 serta kemenangan bersejarah dalam Piala AFC 2015.

Pemain itu kemudiannya bertindak pulang ke negeri kelahirannya selepas menjulang Piala AFC sebelum beraksi bersama beberapa kelab bawahan dan menamatkan kariernya pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram