
PENAT dan bosan adalah perkataan sesuai bagi menggambarkan perasaan setiap penyokong bola sepak tanah air apabila saban tahun terpaksa melayan berita beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) khususnya yang bertanding di peringkat tertinggi iaitu Liga Super menghadapi isu gaji.
Masalah kelewatan membayar gaji bulanan kepada pemain dan kakitangan bukan perkara biasa dalam suasana domestik namun gara-gara menganggap perbuatan tersebut adalah normal, setiap tahunlah pengurusan pun menormalisasikan isu tersebut.
Misalnya, musim ini bukan satu tapi setakat ini lima pasukan Liga Super dikhabarkan sedang bergolak dengan isu tunggakan gaji sehingga pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa mengambil sedikit masa lagi untuk menilai kelayakan kelab mendapatkan lesen kebangsaan bagi musim 2024.
Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC, Negeri Sembilan FC (NSFC), Kuala Lumpur City FC (Kl City FC) dan Sabah FC juga difahamkan sedang bergelut untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Sedar atuapun tidak, perbuatan pihak pengurusan yang mencabul hak pemain dan kakitangan ini secara tidak langsung menjejaskan imej Liga M di mata penyokong luar negara mahupun bakal pihak berkepentingan seperti penaja.
Bukan itu sahaja, usaha pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail (TMJ) melakukan revolusi dan transformasi kepada bola sepak tanah air seperti menambah slot Piala AFC juga boleh menjadi sia-sia kerana isu pembayaran gaji.
Hasil revolusi yang diusahakan TMJ sejak 10 tahun lalu semakin membuahkan hasil apabila Harimau Selatan mengharumkan nama Liga M di pentas tertinggi Asia dengan menjadi satu-satunya wakil negara ke kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
JDT juga menerima tamparannya apabial rata-rata kelab Liga Super tidak memberikan saingan kompetitif dan salah satu mereka tidak memberikan persembahan berkualiti adalah kerana masalah gaji.
Jika masalah gaji ini semakin berlarutan dan tidak menemui jalan penyelesaian sehingga musim-musim seterusnya, berikut Majoriti menyenaraikan lima impak akan berlaku kepada ekosistem Liga M;
1) Penaja semakin hilang minat
Pihak pengurusan NSFC masih tidak memberi sebarang kenyataan rasmi mengenai isu gaji. — Facebook/NSFC
Salah satu sumber kewangan sesebuah kelab untuk terus kukuh berdiri dalam saingan liga ialah menerima tajaan daripada badan-badan korporat dalam jumlah jutaan ringgit bagi membantu menampung perbelanjaan untuk mengharungi satu musim yang panjang.
Namun pihak penaja boleh sahaja menarik diri ketika musim berlangsung jika mereka melihat pelaburan tidak berbaloi kerana kelab yang ditaja dalam keadaan terumbang-ambing dan terus gagal beraksi cemerlang dalam saingan liga.
Kegagalan memberikan aksi cemerlang juga berlaku disebabkan isu gaji sehingga bakal penaja pun sudah tidak lagi berminat untuk melakukan rundingan dengan pengurusan yang lemau dalam mengendalikan isu gaji kelab.
Musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) pernah menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak luar dari segi jual beli saham namun sehingga kini skuad Jang masih sukar mencari penaja.
2) Pemain dan jurulatih import tolak Liga M
Christian Rontini antara import TRW yang sudah berhijrah ke liga lain dan meninggalkan kelab tersebut. — Facebook/TRW
Kelewatan membayar gaji sehingga berbulan-bulan boleh membuatkan pemain dan kakitangan memutuskan untuk angkat kaki daripada kelab dan lebih rela berhijrah ke liga lain ataupun ke kelab lebih kecil yang menjanjikan wang masuk tepat pada waktunya.
Kelantan musim ini menjadi pasukan yang paling banyak mengucapkan selamat tinggal kepada para tonggaknya dan ada juga pemain yang tak sempat pun beraksi kerana sekatan pendaftaran oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pengalaman tidak menggembirakan di saingan domestik ini boleh mengakibatkan bintang dan jurulatih import trauma untuk menerima tawaran kelab Liga M lain dan seterusnya proses membawa masuk pemain di jendela perpindahan juga bertambah sukar.
Sekiranya gosip memalukan mengenai isu gaji kelab Liga Super makin menjadi cakap-cakap pemain di luar negara, jangan hairanlah jika pasukan Liga M akan terus mengitar semula tongga dan jurulatih import yang sama saban tahun.
2) Jumlah pasukan akan makin berkurang
Melaka masih lagi dilaporkan tidak menyelesaikan isu tunggakan gaji. — Facebook/MUFC
Ketika pengelola domestik, MFL mengumumkan penstrukturan semula Liga M termasuklah saingan Liga Super 2023, yang mana disertai 18 pasukan dan setiap pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan liga, ramai penyokong teruja untuk melihat perubahan tersebut.
Namun keterujaan tersebut tidak bertahan lama apabila dua pasukan Liga Super, Sarawak United FC dan Melaka United FC gagal dalam rayuan perlesenan kebangsaan kerana gagal memenuhi proses dokumentasi terakhir mereka iaitu tidak mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain serta pegawai.
Dua lagi kelab tidak berkesempatan ke Liga Super ialah Petaling Jaya City FC kerana gagal menyelesaikan proses pengambilalihan pelabur baharu dan UiTM FC pula menarik diri daripada bertanding kerana gagal mendapatkan dana pasukan.
Apa yang membimbangkan jika senario musim lepas akan berulang lagi dan dijangka bukan satu tapi lima pasukan berkemungkinan dalam keadaan telur di hujung tanduk jika mereka tidak memenuhi proses dokumentasi terakhir Lesen Kebangsaan.
Pada minggu lalu, MFL memaklumkan First Instance Body (FIB) memerlukan sedikit masa lagi untuk mendapatkan butiran tambahan dari segi dokumentasi yang dikemukakan pasukan Liga Super bagi mendapatkan lesen kebangsaan musim depan.
Malah pada Ahad, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengakui isu masalah kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai berpotensi menggugat perancangan pihaknya untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.
4) Pembangunan bakat akan mati
Muhammad Naqib meluahkan isi hatinya mengenai isu gaji KDA FC. — Facebook/KDAFC
Lubuk pemain muda negara selalunya akan digilap diperingkat Piala Presiden ataupun saingan Piala MFL namun usaha mencari pelapis akan menemui titik nokhtah kerana sikap sambil lewa pengurusan.
Pemain muda mana yang ingin meneruskan impian untuk bermain bola jika kelab yang disanjung dulu mengkhianati mereka dengan mengambil hak dan menggunakan tenaga ubi muda secara percuma.
Jika episod hitam terus menimpa pemain-pemain muda, jangan pelik kalau anak-anak muda semakin hilang minat untuk bermain bola sepak dan menceburi bidang yang lebih menjanjikan wang ringgit serta kerja tetap.
Ubi muda KDA FC dalam skuad Piala MFL, Muhammad Naqib Sharipuddin antara pemain muda yang berani tampil mendedahkan kehidupan seorang pemain bola sepak tidak semestinya membawa kegembiraan.
5) Impian ke Piala Dunia terkubur
Harimau Malaya kini berada pada ranking ke-137 dunia. — Facebook/FAM
Hasrat untuk ke Piala Dunia adalah suatu impian semua penyokong bola sepak tanah air namun angan-angan itu semakin terkubur kerana kekurangan pemain muda dalam industri.
Kehilangan prospek negara berpunca daripada ketiadaan ubi-ubi muda hanya akan menyukarkan harapan berkenaan, lebih-lebih lagi pada masa terdekat.
Meskipun ketika ini skuad kebangsaan memiliki skuad yang cukup baik, keengganan pihak berkepentingan untuk memastikan pelapis dapat dihasilkan saban tahun hanya akan membantutkan pembangunan bola sepak negara.
Selain itu, kebergantungan terhadap pemain naturalisasi juga akan meningkat sekiranya penekanan terhadap pembangunan pemain muda tempatan tidak diambil serius dengan pendekatan itu dikhuatiri hanya akan mengurangkan tarikan dalam kalangan penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram