Isu gaji kian merebak, MFL boleh pertimbang 'salary cap' bantu kurangkan beban kelab


  • Podium
  • Selasa, 31 Okt 2023

Jika isu gaji tidak selesai, MFL terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga. — Facebook/MFL

KEMELUT tunggakan gaji pemain dalam kancah bola sepak negara seolah-oleh tiada penghujungnya dan kini dilihat seperti kudis yang kian merebak apabila satu persatu kelab menghadapi masalah yang sama.

Musim ini juga tidak terkecuali daripada melalui perkara apabila difahamkan terdapat dua pasukan Liga Super yang menghadapi masalah dalaman berkaitan tunggakan gaji, lapor Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada awalnya terdapat bahawa terdapat tujuh daripada 14 pasukan Liga Super bergelut dengan isu gaji namun perkara itu didangkal oleh pengelola domestik tersebut sebaliknya menegaskan hanya dua kelab menghadapi masalah tersebut dan satu daripadanya ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Susulan masalah gaji yang tidak berkesudahan itu, MFL menyatakan bahawa ia boleh menggugat perancangan badan tersebut untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Mengambil kira isu masalah kewangan dihadapi pasukan yang kembali hangat diperkatakan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Stuart Ramalingam, MFL akan melakukan apa sahaja termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

Masalah gaji yang saban tahun berlaku ini sepatutnya sudah sepatutnya tidak berlaku jika setiap pasukan mengambil serius mengenai hal kebajikan pemain dan kakitangan namun pada masa sama MFL sebagai badan pengelola juga boleh membuat inisiatif.

Demi mengelak daripada masalah gaji ini semakin menjadi barah yang kian merebak, Majoriti mencadangkan tiga inisiatif boleh diambil oleh pihak MFL untuk bersama-sama mengurangkan isu tersebut;

1) Salary Cap

KEDAH GAJI

KDA FC disahkan mengalami isu tunggakan gaji musim ini. — Facebook/KDAFC

Penggunaan salary cap atapun gaji siling bukanlah perkara baharu dalam dunia bola sepak kerana terdapat juga liga luar negara seperti Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat dan malah negara jiran, Liga 1 Indonesia juga melakukan perkara sama.

Sekiranya pihak MFL mula melaksanan gaji siling kepada kelab Liga M, ia sekurang-kurangnya dapat mengawal pemilik pasukan daripada membuta-tuli memberikan gaji dengan jumlah besar kepada para pemain.

Walaupun ada tanggapan bahawa kemungkinan pihak pengurusan melakukan kontrak berlainan kepada pemain yakni ‘double contract’ kepada pemain namun ia masih boleh menjadi satu insiatif daripada MFL untuk mengurangkan beban kelab.

Sekiranya ada pemain menginginkan dua kontrak berbeza bersama kelab kerana mahu gaji lumayan, penggunaan salary cap yang ditetapkan badan pengelola boleh menjadi alasan kelab untuk tidak melunaskan kemahuan mereka.

Di saingan Liga Indonesia, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memperuntukkan setiap pasukan hanya dibenarkan membelanjakan angka minimum sebanyak 50 bilion rupiah (RM15 juta) setiap musim untuk gaji pemain.

2) Jual hak penyiaran kepada negara jiran

astro rtm

Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) jadi penyiar rasmi Liga Malaysia 2023. — Facebook/MFL

Untuk meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia, hak penyiaran adalah salah satu daripada sumber pendapatan kelab dan secara langsung ia juga merupakan cara terbaik untuk menaikkan nilai liga domestik.

Pada musim ini, MFL mengumumkan bahawa nilai dana penyiaran yang diterima kelab Liga Super adalah melebihi RM12 juta dan penambahan angka tersebut dapat dilakukan kerana peningkatan jumlah penajaan yang diterima badan pengelola liga itu musim ini.

Jumlah dana penyiaran diterima kelab Liga M boleh meningkat dan memberi keuntungan sekiranya MFL menambah inisiatif dengan mencuba untuk menjual hak penyiaran kepada negara jiran seperti Indonesia.

Indonesia menjadi sasaran sesuai untuk dicuba kerana sebahagian penyokong mereka juga pasti ingin melihat beberapa bintang skuad Garuda beraksi di saingan Liga M seperti Saddil Ramdani dan Jordi Amat.

Malah, tidak dapat dinafikan ada juga penyokong Indonesia yang mengikut rapat perkembangan Liga M dan secara tidak langsung ia boleh menjadi lubuk kepada penambahan dana penyiaran sekiaranya MFL berhasil menjual kepada negara-negara luar.

3) Lebih telus

TRW

Pada awal musim ini, Kelantan FC didedah menjadi kelab pertama mengalami isu tunggakan gaji. — Facebook/TRW

Bukan ingin mengatakan pengelolaan MFL kini kurang telus namun alangkah indahnya jika badan bola sepak tanah air itu melaksanakan satu sistem yang mana meminta agar setiap kelab menyediakan penyata kewangan.

Tidak usah menunggu hujung tahun namun lebih sesuai jika MFL meminta pengurusan kelab untuk menyediakan penyata kewangan setiap tiga bulan ataupun setiap bulan bagi memantau perkembangan semasa bajet pasukan Liga M.

Sekiranya, kelab Liga M melaporkan keadaan semasa kewangan setiap hujung bulan, setidaknya ia dapat mengelak daripada masalah gaji berlaku semakin berpanjangan sehingga berbulan-bulan seperti yang terjadi kini.

Di saingan Liga Indonesia, PSSI memerintahkan setiap pasukan dikehendaki melaporkan rekod kewangan mereka kepada persekutuan setiap enam bulan sebagai kewajipan untuk menyertai pertandingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram