KEHADIRAN Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris boleh dianggap sebagai satu rahmat terhadap pembangunan bola sepak di negeri berkenaan.
Selepas bertahun-tahun memegang status sebagai kelab kerdil, kedatangan TMJ pada 2012 memberi satu nafas baharu buat kelab Selatan tanah air tersebut.
Usahanya dapat disaksikan sejak hari pertama apabila dia tidak henti-henti menyalurkan kewangan untuk menambah baik kualiti skuad serta fasiliti kelab.
Tidak cukup dengan itu, minatnya terhadap dunia bola sepak juga sukar dipertikaikan dengan TMJ sering tampil memberi pandangan mengenai JDT serta pasukan kebangsaan.
Hari ini, usaha dibuatnya itu dilihat sudah membuahkan hasil apabila skuad Harimau Selatan boleh dianggap sebagai salah sebuah kelab terbaik dalam sejarah Liga Super.
TMJ (dua dari kiri) tidak pernah putus asa dalam usahanya membangunkan kelab itu.
Selain mudah menundukkan lawan di peringkat domestik, pasukan itu juga mempunyai hala tuju cukup memberangsangkan di pentas Asia setiap kali mereka beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Bagaimanapun, dalam satu sesi podcast Keluar Sekejap baru-baru ini, TMJ mendedahkan bahawa terdapat kemungkinan dia akan menarik diri daripada JDT satu hari nanti.
Tekanan kewangan sepanjang mengendalikan kelab bola sepak boleh dianggap sebagai salah satu faktor utama sehingga dia mendedahkan terdapat waktu di mana dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk JDT.
Meskipun pernah berbuat demikian sebelum ini, TMJ kerap kembali untuk mengemudi tampuk pemerintahan skuad Harimau Selatan setelah kehadirannya didamba penyokong.
Namun, persoalannya, sekiranya dia memilih untuk meninggalkan JDT dan tidak lagi kembali pada masa depan, apakah impak yang bakal dialami skuad Harimau Selatan?
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga kesan yang berkemungkinan dialami jaguh Liga Super itu sekiranya TMJ tidak lagi bergelar sebagai pemilik mereka.
1. Kehilangan figura berpengaruh
Sekiranya dilihat dalam kalangan pemain skuad Harimau Selatan, mereka seperti memiliki hubungan cukup baik dengan TMJ baik dalam skuad senior mahupun dalam fasa pembangunan.
Ia sememangnya tidak menimbulkan sebarang tanda tanya melihat kepada layanan pemilik kelab tersebut terhadap tulang belakang pasukan berkenaan.
Tidak cukup dengan itu, bekas pemain JDT juga sering memberikan penghormatan terhadapnya dengan mengatakan bahawa kehadiran TMJ merupakan punca di sebalik pembangunan pasukan itu.
TMJ memiliki tempat cukup istimewa dalam kalangan penyokong JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Sekiranya TMJ melangkah pergi, ia pastinya menjejaskan hubungan antara pihak pengurusan dan pemain memandangkan TMJ cukup bijak dalam membina hubungan.
Malah, sekali pun JDT meraih kehadiran seseorang yang cukup mahir dalam dunia bola sepak, mereka semestinya mempunyai karakter yang sedikit berbeza dengannya.
Jika mereka mahu pemilik baharu kelab mempunyai personaliti yang mirip dengan TMJ, kaum kerabat diraja Johor boleh dianggap sebagai calon terbaik.
Persoalannya, mampukah TMJ menanam sikap cinta akan bola sepak terhadap anak-anaknya dalam usaha meneruskan legasi yang sudah diciptanya hari ini.
Seperti apa yang boleh dilihat setakat ini, TMJ sudah mendedahkan sukan bola sepak itu kepada warisnya dengan mereka kerap dilihat di Stadium Sultan Ibrahim untuk menonton perlawanan selain bersama pemain-pemain JDT.
2. Sukar memastikan struktur kewangan kelab
Dalam perkongsian baru-baru ini, TMJ memberitahu bahawa JDT memerlukan kira-kira RM50 sehingga RM60 juta setahun untuk pembangunan serta kelangsungan kelab.
Nilai itu pastinya tidak menimbulkan sebarang keraguan memandangkan skuad Harimau Selatan memiliki fasiliti serba canggih dan pemain yang cukup baik.
Kos berkenaan dilihat sukar untuk ditampung mana-mana syarikat mahupun individu tempatan memandangkan pulangannya cukup merugikan.
Kos yang tinggi diperlukan untuk memastikan kelangsungan skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain itu, TMJ turut mengatakan dalam podcast Keluar Sekejap bahawa dia dan Sultan Johor Sultan Ibrahim pernah mengeluarkan duit poket sendiri demi kelangsungan pasukan.
Sekiranya JDT kehilangan seorang pemilik sepertinya, mampukah kelab itu meneruskan kecemerlangan mereka di atas padang, lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa.
Malah, sekali pun mereka mampu menarik seseorang dengan struktur kewangan yang kukuh, mampukah dia membuat pelaburan cukup besar dengan melaburkan duit poket sendiri?
3. Kehilangan penyokong setia
Sejak penubuhan JDT pada 2012, penyokong merupakan salah satu elemen paling penting buat pasukan tersebut ialah kehadiran penonton yang cukup menggalakkan.
Ia dapat disaksikan sejak pasukan itu masih beraksi di Stadium Larkin, Johor dengan atmosfera cukup menghangatkan dirasakan untuk hampir setiap perlawanan.
Sambutan menggalakkan itu dilihat berpunca daripada kehadiran JDT yang amat dekat dengan rakyat di negeri itu sejak sebelum dia mengambil alih kelab.
Penyokong setia merupakan antara pulangan terbesar dapat dirasakan TMJ. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perkara itu sememangnya diteruskan sehingga hari ini apabila kehadiran penyokong di Stadium Sultan Ismail, Johor merupakan antara yang tertinggi musim ini.
Sekiranya TMJ membuat keputusan meninggalkan posisinya sebagai pemilik JDT, terdapat kemungkinan jumlah kehadiran untuk menonton perlawanan secara langsung kian terjejas.
Hal berkenaan dikhuatiri hanya akan menyulitkan hasrat pemilik baharu kelab untuk menarik pelabur apabila mereka kurang yakin dengan pulangan.
Ia sekali gus akan menyebabkan struktur kewangan pasukan semakin rapuh sebelum ia hanya akan menyebabkan skuad Harimau Selatan semakin lemah, termasuk di peringkat domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram