PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris sememangnya cukup terkenal dengan sikap keterbukaan, lebih-lebih lagi di media sosial.
Selain membincangkan mengenai perkembangan kelabnya, dia juga kerap memberi pandangan mengenai landskap bola sepak tanah air dalam usaha untuk menaikkannya lagi.
Baru-baru ini, TMJ sekali lagi diberikan ruang untuk membuat perkongsian peribadi menerusi satu rancangan temu bual yang dihoskan dua ahli politik, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Sesi yang dikenali sebagai Keluar Sekejap itu sememangnya diketahui ramai memandangkan beberapa figura pernah tampil, seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohd Sanusi Md Nor.
Jadi, kehadiran TMJ pastinya lebih menarik apabila pelbagai isu dapat dikupas dengan pandangannya juga sering mencuri perhatian khalayak.
Namun, salah satu perkongsian yang sememangnya diberikan perhatian dalam episod ke-61 Keluar Sekejap tersebut semestinya mengenai pendedahan TMJ mengenai pasukannya.
Menurutnya, tekanan kewangan yang dihadapi pastinya akan memberi kesan terhadap tempohnya bersama JDT meskipun kelab itu kini berada di tahap berbeza.
"Mungkin ada satu hari nanti di mana saya katakan cukuplah kerana sejujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat-sangat berat dalam bola sepak di negara kita.
"Contohnya, Kedah Darul Aman (KDA) FC. Tiga bulan tanpa gaji, Sabah FC juga tak bayar gaji, Kelantan tak bayar gaji, Sarawak tak bayar gaji. Jadi, memang bukan mudah untuk jaga kelab bola sepak," katanya.
Musim ini, sebahagian besar pasukan Liga Super dikhabarkan berdepan isu kewangan dengan masalah berkenaan dilihat hanya akan mencalarkan reputasi bola sepak tempatan.
TMJ pernah mengambil keputusan meninggalkan JDT tahun lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun ada usaha untuk menarik lebih banyak penaja, tarikan dalam kalangan penyokong jelas memainkan peranan apabila pasukan tidak dapat mengaut keuntungan daripada kehadiran penonton ke stadium.
TMJ mengambil alih tampuk pemerintahan JDT pada 2012 dengan pelbagai kejayaan mampu diraih skuad Harimau Selatan, terutamanya dalam menjulang kejuaraan Liga Super untuk 10 tahun berturut-turut.
Dia sebelum ini pernah mengumumkan pengunduran daripada pasukan itu pada tahun lalu, namun segera kembali tidak lama selepas itu selepas didesak penyokong.
Dalam perbualan itu juga, TMJ turut menegaskan bahawa dirinya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri demi menampung kelangsungan jaguh Liga Super tersebut.
"Meskipun Johor ada banyak syarikat antarabangsa, kerjasama dan juga penajaan, tetapi kita masih bergelut dan ada masanya ketika kami bergelut, saya dan Ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Johor) terpaksa mengeluarkan duit sendiri. Kadang kala, perkara itu memang memberi tekanan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram