[VIDEO] Jaga pemain JDT, macam jaga 32 bayi kaya — TMJ


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Musim lepas JDT berjaya melengkapkan quadruple koleksi piala kelab tersebut selepas berjaya menjulang Piala Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. — Facebook/JDT

SEPERTI kelab Liga Malaysia (Liga M) yang lain, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris juga tidak terkecuali daripada berdepan tekanan menguruskan pasukan terutamanya dari segi kewangan.

Menerusi satu rancangan temu bual iaitu Keluar Sekejap yang dihoskan dua ahli politik, Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tunku Ismail mendedahkan mengenai kepayahan menjaga kebajikan para pemain.

Walaupun di mata orang ramai JDT kelihatan seperti kelab sempurna namun beliau menyifatkan bahawa menjaga barisan pemain skuad Harimau Selatan adalah seperti menguruskan 32 bayi kaya dan budak manja.

"Dari segi tanggungjawab memberi tekanan sebab menjaga kelab bola terutamanya bila ada pasukan adalah seperti menjaga 32 bayi kaya. Spoiled brats. Saya terbuka mengenai hal ini. Saya tak kisah kalau mana-mana pemain saya nak terasa, saya tak kisah.

"Itu adalah kenyataan. Ia tak pernah cukup. Mereka sentiasa nak lebih. Dekat luar semua kelab kelihatan okay tapi di sebaliknya ia kerja bukan yang senang. Macam mana saya nak pastikan pemain seperti Safiq Rahim, Fernando Forestieri dan Farizal Marlias yang dah menang macam-macam tetapi keinginan mereka seperti tidak pernah menang sesuatu.

"Saya boleh cakap saya bagus dalam memastikan mereka begitu. itu karakter saya yang buat mereka ingin rasa profesionalisme yang inginkan sesuatu dan kejayaan yang tidak pernah cukup. Sebab itulah JDT berada di tahap sekarang," kata Tunku Ismail.

Sebelum itu, Tunku Ismail juga berkongsi kemungkinan akan meninggalkan bola sepak pada suatu hari nanti sambil menegaskan bahawa sentiasa akan ada pengakhiran untuk sesuatu perkara termasuklah sukan tersebut.

Tunku Ismail mula tampil sebagai pemilik JDT sejak 2012, yang mana menyaksikan banyak revolusi dan kejayaan dilakukan oleh beliau termasuklah kemenangan Piala AFC 2015, mara ke kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kejuaraan 10 musim berturut-turut Liga Super.

"Saya tak tahu tapi mungkin masa itu akan tiba. Sentiasa ada pengakhiran bagi setiap cerita. Saya tak boleh dalam bola sepak selalu. Mungkin ada satu hari nanti di mana saya katakan cukuplah kerana sejujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat-sangat berat dalam bola sepak di negara kita.

"Contohnya, Kedah Darul Aman (KDA) FC. Tiga bulan tanpa gaji, Sabah FC juga tak bayar gaji, Kelantan tak bayar gaji, Sarawak tak bayar gaji. Jadi, memang bukan mudah untuk jaga kelab bola sepak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram