Lupakan khabar angin Bergson ke Liga Arab, TMJ sudah ada list untuk skuad depth JDT


  • Podium
  • Khamis, 26 Okt 2023

Bergson menjadi satu-satunya penjaring JDT ketika tewas 1-3 di tangan Ulsan Hyundai bagi aksi Kumpulan I, Piala ACL pada Selasa. — Facebook/JDT

SEJAK menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada musim 2021, penyerang prolifik, Bergson da Silva sering menampilkan persembahan cemerlang untuk membuktikan bahawa dia merupakan antara peledak import berkualiti tanah air.

Bergson merupakan pemenang Kasut Emas 2021 selepas berjaya menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan dan musim berikutnya, pemain berusia 32 tahun itu juga dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Musim 2023 menyaksikan import Brazil itu meneruskan ketajamannya di hadapan gawang dengan membantu skuad Harimau Selatan mencetak 22 jaringan gol untuk kejohanan Liga Super (16 gol), Piala Malaysia (empat gol) dan selebihnya untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) setakat ini.

Susulan prestasi konsisten yang diberikan oleh penyerang itu untuk Harimau Selatan sejak musim 2021, tidak hairanlah jika pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris mendedahkan akan menyambung kontrak Bergson.

Selain daripada pendedahan mengenai masa depan Bergson bersama JDT, Tunku Ismail juga berkongsi bahawa sebilangan besar pemain musim ini juga akan terus menyarung jersi Harimau Selatan pada musim depan.

"Sudah tentu kontrak Bergson akan disambung dan kekal bersama JDT musim 2024 serta kebanyakan pemain turut kekal bersama pasukan JDT. Cuma ada beberapa pemain yang kita akan ganti (improve) untuk skuad depth JDT musim depan," kata TMJ memetik wawancara bersama Astro Arena.

100 TMJ

Bergson ketika menerima jersi istimewa sempena meledak gol ke-101 peribadinya. — Facebook/JDT

Lanjutan kontrak bekas pemain Fortaleza itu bersama juara bertahan Liga Super 10 musim berturut-turut tersebut secara tidak langsung menjawab spekulasi mendakwa pemain kelahiran Brazil itu bakal meninggalkan Harimau Selatan.

Sebelum ini, Bergson dikatakan akan berhijrah ke kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC dan JDT dikatakan akan memperolah keuntungan besar berikutan harga yang dikaitkan dengan nilai pemain tersebut ialah RM5.5 juta.

Dalam perkembangan berbeza, Tunku Ismail juga mengesahkan akan membawa masuk lima tonggak baharu bagi memantapkan skuad Harimau Selatan bagi saingan musim depan dan sekali gus menambah baik beberapa posisi.

"Saya sudah ada perancangan bagi musim 2024. Sebagai contoh, kami melihat ada beberapa posisi yang kami (JDT) perlu perbaiki. Kami sudah pun sedia maklum mengenai pemain-pemain yang kami inginkan pada musim depan.

"Sekarang ini persiapan sekitar 85-90 peratus. Saya akan pastikan persiapan pasukan selesai menjelang akhir tahun ini," tambah beliau memetik rancangan Astro Arena, Nindia Bola. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram