Aidil Zafuan 'kalah' dengan Azrif Nasrulhaq


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Musim ini Aidil hanya tampil dalam satu perlawanan Liga Super.

LIGA Malaysia semakin hampir menemui penghujungnya selepas hanya tinggal dua baki perlawanan Liga Super sekali gus menandakan musim ini akan menutup tirainya.

Walaupun perjalanan liga masih belum selesai, Johor Darul Takzim (JDT) sudah pun dinobatkan sebagai juara kali yang ke-10 sekali gus mencipta sejarah baharu menjadi kelab yang menjuarai Liga Super selama sedekad.

Namun begitu masih ada pemain lagi yang belum merekodkan sebarang penampilan dan ada juga beraksi dalam satu perlawanan sahaja.

Menurut statistik Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pemain JDT turut tersenarai antara pemain yang hanya mampu melakukan satu penampilan musim ini.

Majoriti senaraikan tiga bintang dalam Liga M yang merekodkan beraksi satu perlawanan musim ini:

Aidil Zafuan

Aidil antara pemain paling lama berkhidmat di JDT sejak TMJ mengambil alih pada 2013.

1. Mohamad Aidil Zafuan

Pastinya anda semua merindui aksi bekas pertahanan kebangsaan yang sudah menjangkau usia 36 tahun untuk musim ini.

Banyak memanaskan bangku simpanan, Aidil lebih tertumpu untuk menggalas tanggungjawab di luar padang dengan memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda.

Sememangnya, sifat kepimpinan pemain senior seperti Aidil dan Farizal Marlias (penjaga gol JDT) sangat dituntut kerana mereka boleh menjadi contoh yang baik buat pemain muda.

Musim ini, Aidil hanya beraksi selama 19 minit ketika menentang PDRM FC pada 27 September lalu sekali gus menjadi penampilan pertamanya dalam Liga Super musim ini.

Berbeza dengan pemain pinjaman JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq yang merekodkan lebih 1,782 minit permainan bersama Sri Pahang musim ini.

Abdul Halim Saari

Halim kembali ke Kedah selepas menamatkan kontrak bersama Selangor FC.

2. Abdul Halim Saari

Mungkin namanya tenggelam buat seketika bersama Selangor FC apabila mengalami kecederaan serius yang memaksanya untuk berehat lama.

Musim ini, Abdul Halim Saari sudah kembali beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) walaupun hanya merekodkan satu minit permainan ketika berdepan Kuala Lumpur City FC pada 30 September lalu.

Menentang KL City dalam Liga Super ialah penampilan pertama Halim Saari yang mana dia dulu terkenal dengan teknik hantaran yang tenang persis bintang Real Madrid, Toni Kroos.

Baru berusia 28 tahun, Halim Saari pastinya mahu kembali merebut tempatnya dalam skuad Nafuzi Zain yang dipegangnya sebelum meninggalkan Kedah untuk berhijrah ke Selangor pada 2018.

Dechi Marcel N'Guessan

Dechi menyertai Kuching City pada jendela perpindahan kedua musim ini.

3. Dechi Marcel N'Guessan

Penyokong Kedah dan Terengganu pastinya mengenali pemain persis N'Golo Kante yang tenang ketika bertahan dan tahu untuk mencari ruang dalam melakukan serangan.

Pemain itu ialah Dechi Marcel N'Guessan yang mana menyertai Kuching City FC semasa jendela perpindahan kedua musim ini.

Namun malang tidak berbau buat Dechi Marcel selepas mengalami kecederaan selepas melakukan penampilan pertama bersama Kuching City.

Secara tidak langsung Dechi menjadi pemain import yang hanya merekodkan satu penampilan musim ini sebelum berehat panjang akibat kecederaan serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram