[VIDEO] Safee Sali percaya kehadiran Jalil Elias akan beri kelebihan buat JDT musim depan


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Jalil Elias dikatakan semakin hampir untuk menyertai skuad Harimau Selatan pada jendela perpindahan akan datang. — Agensi

DALAM sesi temu bual Nindia Bola Isnin lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris mengesahkan bahawa kelabnya, Johor Darul Takzim (JDT) akan mendapatkan khidmat pemain import Argentina, Jalil Elias.

Pemain yang kini berada di negara kelahirannya bersama San Lorenzo dilihat mempunyai reputasi tersendiri melihat kepada tahun-tahun perkhidmatannya bersama kelab itu.

Selain sudah mencatatkan 100 penampilan, pemain berusia 27 tahun itu juga pernah diberikan peranan kapten, sekali gus membuktikan kualiti yang dimilikinya.

Tidak cukup dengan itu, nilai Elias juga tidak boleh dipandang rendah dengan laman sesawang transfermarkt meletakkan anggaran kira-kira €2.8 juta (RM14.16 juta).

Kehadirannya akan meletakkannya sebagai pemain paling bernilai dalam Liga Super dengan takhta tersebut ketika ini dimiliki seorang lagi pemain JDT, Jordi Amat.

Penyokong skuad Harimau Selatan sudah tentu akan ternanti-nanti akan kehadiran Elias apabila mereka sudah tidak dapat sabar untuk menilai kebolehannya.

Keghairahan itu juga terlihat daripada bekas penyerang JDT, Safee Sali dalam satu sesi temu bual antaranya bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Baginya, kebolehan serta profil pemain berkenaan dilihat cukup penting dengan skuad kendalian Esteban Solari tidak memiliki seseorang yang dapat memikul peranan seperti Elias.

"Pemain sepertinya tiada buat masa sekarang ni dalam pasukan JDT dan apabila adanya pemain seperti ini, mungkin ada satu kelebihan yang baharu buat JDT.

2077505

Safee Sali mempunyai karier cukup baik bersama JDT dari 2014 sehingga 2017.

"Ia akan dapat memberi kelebihan sebagai seorang 'box-to-box player' yang mampu bertahan dan menyerang, itu yang amat penting buat JDT buat masa sekarang," katanya.

Safee Sali pernah menyumbang khidmat bersama JDT untuk tiga musim dengan kehadirannya membantu skuad Harimau Selatan menjulang Piala AFC 2015.

Kini, selepas menamatkan kariernya bersama Kuala Lumpur (KL) City FC musim lalu, bekas penyerang kebangsaan berkenaan hanya berkhidmat sebagai pengulas di Astro Arena.

Tetapi, melihat kepada tahun-tahun permainannya, pandangannya mengenai Elias sudah tentu tepat dalam usaha JDT mahu mengorak langkah dengan lebih bergaya selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram