Ada ketika Ifedayo rasa terganggu beraksi bersama Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Ifedayo antara salah seorang pemain yang dibawa Kedah menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia. — Facebook/KDA FC

MENGIMBANGI amanah dan bebanan tanpa gaji, bukan hal yang mudah, itu ditegaskan pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ifedayo Olusegun, merujuk keadaan semasa yang mana mereka perlu kekal profesional walaupun kekusutan di fikiran semakin terasa dengan isu gaji yang belum selesai.

Malah Ifedayo mengakui ada satu ketika situasi semasa turut membuatkan mereka terganggu dalam beberapa saingan penting melibatkan Kedah, lapor Stadium Astro.

"Ia amat sukar, menjejaskan kami dalam beberapa perlawanan. Pemain terjejas dan gagal menghadirkan permainan yang terbaik.

"Apa yang seharusnya menjadi milik anda tidak diberikan pada tepat masanya, ia semestinya menjejaskan setiap pemain," katanya.

Isu gaji seolah-olah terus menghantui pemain tersebut selepas pengalaman hitam bersama Melaka United juga masih belum selesai sehingga kini.

Namun, itu tidak bermaksud Ifedayo sudah berpatah arang dengan saingan Liga Malaysia.

"Saya menikmati masa beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Ia bukanlah sesuatu yang harus menjadi satu pengalaman yang mengecewakan kerana saya telah beraksi dalam banyak pasukan sebelum ini." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram