MASALAH tunggakan gaji kini kembali menghantui Liga Malaysia (Liga M) selepas dikhabarkan lima pasukan utama Liga Super mengalami masalah tersebut meskipun perjalanan musim ini masih belum tertutup.
Ia belum lagi mengambil kira pasukan-pasukan Liga M3 yang berstatus amatur tetapi turut mengalami nasib sama seperti Liga Super meskipun tidak membariskan pemain-pemain import.
Dikhabarkan pasukan Liga Super yang mengalami tunggakan gaji ialah Kelantan FC, Kuala Lumpur City FC (KL City), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC selepas gagal melunaskan pembayaran terhadap pemain masing-masing.
Situasi ini dilihat perkara yang sangat negatif buat 'scene' bola sepak Malaysia tatkala skuad kebangsaan sedang melonjakkan semula nama negara di persada antarabangsa.
Mungkin sesetengah 'orang lama' dalam bola sepak menganggap tunggakan gaji adalah isu biasa dalam suasana Liga M tapi secara tidak langsung ia mampu memberi kesan negatif terhadap pemain.
Bekas pemain warisan Australia-Malaysia, Curran Singh Ferns kini sedang menjalani hidup sebagai ahli perniagaan berjaya selepas meninggalkan bola sepak demi kelangsungan hidup di negara kelahirannya.
"Saya kini memulakan perniagaan khusus dalam bidang hartanah komersial yang dilihat berjaya setakat ini.
"Saya juga dalam proses mendaftarkan perniagaan sebagai firma antarabangsa dan akan membuka pejabat di Malaysia bagi mengetuai pasaran Asia Tenggara.
"Sejujurnya saya tidak memikirkan untuk kembali ke bola sepak selepas melihat syarikat semakin berjaya.
"Ia memerlukan banyak masa dan dedikasi untuk menjadikannya berjaya seperti sekarang," katanya kepada Majoriti.
Curran mengakui insiden detik hitam bersama Melaka United pada 2020 membuatkan dia trauma untuk bermain bola sepak sekali gus memilih untuk bersara awal meskipun umur belum lagi mencecah lebih 30 tahun.
"Selepas cara Melaka melayan saya dan pemain lain pada 2020, saya ingin meneroka kerjaya selepas bola sepak.
"Saya berkahwin pada awal 2021 dan kemudiannya berlaku kawalan perintah berkurung semasa wabak Covid-19, jadi saya memutuskan untuk belajar bidang perniagaan hartanah semasa tempoh itu.
"Saya bekerja dengan bekas pemain bola sepak selama 12 bulan untuk menimba pengalaman dan membina rangkaian pelanggan.
"Tidak lama selepas itu saya memulakan perniagaan sendiri dan ia memerlukan masa untuk membinanya sebelum kembali ke Malaysia.
"Saya menerima banyak tawaran untuk 12 bulan pertama, tetapi saya tidak mahu lagi menghadapi risiko melalui isu yang sama seperti Melaka lakukan terhadap saya, dan kini lihat apa yang berlaku kepada kelab itu," jelasnya.
Curran pernah beraksi di Liga Thailand bersama Sukhothai FC pada 2018.
Bercakap mengenai perkembangan semasa Liga Malaysia, Curran menyatakan banyak perubahan sudah berlaku dan berkongsi pasukan manakah mungkin dia memilih jika kembali menyarung but.
"Ia berjalan dengan sangat baik, saya masih menonton perlawanan Liga Super.
"JDT telah membawa liga ini ke satu yang tahap lain bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga peringkat antarabangsa.
"Jika kelab lain boleh mengikuti model mereka, maka liga akan mencapai tahap yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.
"Kalau diberi peluang kembali beraksi, saya mempunyai 'soft spot' dengan Selangor FC kerana mereka mempunyai sejarah yang begitu bagus.
"Saya mahu melihat Gergasi Merah kembali gemilang seperti zaman dahulu," luahnya.
Untuk info sebelum ini Curran pernah menjalani trial bersama JDT sebelum beraksi dengan Negeri Sembilan FC, Felda United, Sukhothai FC (Thailand) dan Melaka.
Individu yang bertanggungjawab membawa Curran ialah Scott Ollerenshaw yang juga telah membawa masuk ramai pemain kacukan dalam Liga M sekali gus memberikan impak positif buat skuad kebangsaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram