[VIDEO] Belum sampai stadium, insiden berdarah Marseille-Lyon punca perlawanan batal


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Tangkap layar video bas pasukan Lyon diserang oleh casual Marseille sebelum memasuki perkarangan stadium.

BELUM mula perlawanan derbi, casual pasukan tuan rumah sudah melakukan provokasi meskipun bas pelawat tidak lagi memasuki perkarangan stadium.

Itulah situasi yang berlaku terhadap pasukan Olympique Lyonnais (Lyon) yang dijadualkan menentang Olympique de Marseille di Stadium Stade Velodrome pada awal pagi Isnin.

Aksi derbi antara kedua-dua pasukan itu terpaksa dibatalkan selepas tindakan penyokong di luar kawalan dengan membaling batu ke arah bas pasukan pelawat sehingga menyebabkan ketua jurulatih Lyon, Fabio Grosso serta pembantunya mengalami kecederaan serius di bahagian kepala.

MAIN PIX - 1

Kecederaan yang berlaku terhadap Grosso.

Insiden kecederaan itu dipercayai terjadi selepas penyokong pasukan tuan rumah membaling batu sehingga menyebabkan cermin tingkap bas pasukan Lyon pecah lalu serpihan kaca tersebut mengenai Grosso.

Sebaik sahaja tiba di stadium, Grosso terus keluar dari bas dan bergegas mendapatkan rawatan kecemasan yang mana dia akhirnya memerlukan 12 jahitan di bahagian kepalanya.

Manakala di dalam stadium pula, casual tuan rumah sekali lagi melakukan provokasi terhadap penyokong pelawat yang hadir untuk memberikan sokong buat pasukan kesayangan mereka Lyon.

Menurut laporan Sky Sports, pegawai polis Perancis mengesahkah sudah melakukan tujuh tangkapan setakat ini.

Badan induk bola sepak Perancis, Ligue de Football Professionnel, mengesahkan perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 7:45 malam (waktu tempatan), ditamatkan selepas mesyuarat tergempar.

"Semasa mesyuarat tergempar unit krisis berikutan insiden yang berlaku di luar Stadium Stade Velodrome, Olympique Lyonnais bertegas untuk tidak meneruskan perlawanan selepas melihat moral dan keadaan pasukan mereka.

“Selepas berbincang dengan Olympique de Marseille serta pihak berkuasa, perlawanan OM-OL itu tidak akan dimainkan pada hari ini (awal pagi Isnin)," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram