[VIDEO] Gara-gara tak puas hati, pemain simpanan naik tocang belasah pengadil liga amatur di Jerantut


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Pengadil ditendang pemain kerana tidak puas hati dengan keputusan yang diberikan.

APABILA bermain bola sepak, kita seharusnya beraksi dengan baik demi mencari gol serta mengamalkan semangat kesukanan yang baik.

Semangat kesukanan ini seharusnya ditonjolkan bukan sekadar kepada rakan sepasukan, tetapi buat pemain lawan dan juga pegawai perlawanan.

Pemain tidak seharusnya menonjolkan emosi mereka dengan berlebihan terutamanya ketika keputusan pengadil bukan memihak mereka. Jika tidak, pasti akan muncul insiden yang tidak diingini.

Sebagai contoh, sebuah perlawanan bola sepak amatur telah dicemari dengan insiden pemain menyerang pegawai perlawanan ketika selepas aksi diadakan.

Perlawanan bola sepak amatur yang diadakan di Jerantut, Pahang ini menyaksikan seorang pemain telah bertindak menyerang pengadil dengan menendangnya.

Ketika sedang mengadili perlawanan melibatkan Rang Hill FC dan Tembeling United FC, mangsa iaitu Hafizi Zakaria telah diserang oleh pemain salah sebuah pasukan tersebut seperti dalam video yang disiarkan di Twitter (X).

Hafizi mengatakan yang dia diserang oleh tiga pemain Tembeling United kerana mereka didakwa tidak berpuas hati dengan keputusannya yang bertugas sebagai pengadil perlawanan tersebut.

"Dua pemain telah menolak saya dengan kasar kerana tidak berpuas hati kerana saya telah menamatkan perlawanan.

"Semasa situasi dalam keadaan tegang, tiba-tiba datang seorang pemain simpanan dari pasukan Tembeling United telah masuk ke padang lalu menumbuk saya di bahagian muka sebelah kiri. Kemudian, saya berlari keluar padang ke bilik persalinan dan terus mendapatkan anggota polis yang bertugas," kata Hafizi.

Walaupun Hafizi mengatakan dia hanya ditumbuk, tetapi dalam rakaman jelas menyaksikan pengadil tersebut turut ditendang oleh pemain ketika situasi tegang itu terjadi.

Hafizi kemudiannya melakukan laporan polis di Balai Polis Jerantut, Pahang selepas insiden berlaku.

Sehingga kini, masih belum ada perkembangan lain mengenai insiden tersebut. Belum ada lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis mengenai status suspek yang kini dicari untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram