Paulo Josue beri komen kehadiran 'budak nakal JDT' ke HM, Nenad Bacina mahu KL buru slot final Piala Malaysia jumpa Harimau Selatan


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Pasukan KL City FC bersedia memburu slot ke pentas final Piala Malaysia 2023. — Stadium Astro

SUSULAN khabar Leandro Velazquez bakal dijadikan pemain naturalisasi terbaru, kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue bersetuju dengan usaha itu.

Walaupun wujud persaingan di antara pemain tengah dalam skuad kebangsaan, Paulo tidak menafikan kehebatan Leandro untuk membantu pasukan memenangi Piala Asia 2023 jika diturunkan.

Di samping itu, Paulo berharap dengan kehadiran Leandro, skuad Harimau Malaya dapat memperbaiki ranking dunia yang kini berada di kedudukan ke-137, turun tiga anak tangga berbanding ranking terdahulu.

"Semua mengetahui kualiti dimiliki Leandro. Dia sentiasa menghadirkan permainan yang baik ketika bersama JDT (Johor Darul Takzim).

"Kehadirannya mampu meningkatkan lagi mutu permainan pasukan Harimau Malaya," katanya.

Leandro

Leandro berjaya menjaringkan lima gol dan melakukan tujuh bantuan gol sekali gus membantu JDT kekal di puncak Liga Super dengan rekod tanpa kalah setakat ini. Facebook/JDT

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC, Nenad Bacina, menggesa anak-anak buahnya segera bangkit melupakan tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Bacina mengakui momentum pasukannya agak buruk terutamanya selepas dikejutkan kekalahan 0-2 di tangan PDRM dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Lebih menggusarkan pengendali kelahiran Croatia itu apabila dia terpaksa melupakan khidmat tonggak tengah, Zhafri Yahya, yang menjalani penggantungan kad kuning.

Bacina bagaimanapun memberikan jaminan skuad The City Boys tidak akan memberikan laluan mudah buat Terengganu FC dan percaya peluang masih lagi terbuka untuk melangkah ke pentas final Piala Malaysia.

"Sememangnya kami tidak mempunyai momentum kemenangan namun pasukan perlu beralih fokus dan mahu memastikan kemenangan dalam aksi berikutnya.

"KL City akan bersedia dan akan memburu slot ke pentas final," jelasnya dengan ramai dapat mengagak JDT antara kelab yang akan ke pusingan itu berdasarkan rekodnya sebagai jaguh liga. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram