Abe dikritik punca comeback last minit Pahang di Kuantan


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Sebahagian aksi menarik ketika pemain Sang Penyu merobek pintu gawang Tok Gajah. — Facebook/MFL

PERTEMBUNGAN sengit derbi Pantai Timur antara Terengganu FC (TFC) menentang Sri Pahang FC gagal menemukan gelaran 'Raja Pantai Timur' apabila kedua-dua pasukan terikat dalam saingan Liga Super pada Ahad.

Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menyaksikan skuad Tok Gajah berjaya mengikat Sang Penyu dengan keputusan 2-2 pada penghujung perlawanan.

Dalam aksi babak pertama, Terengganu dilihat berjaya mengawal permainan dengan melakukan percubaan demi percubaan namun gagal menembusi benteng pertahanan Tok Gajah.

Bagaimanapun, pemain import Sang Penyu, Omid Nazari berjaya membuka tirai jaringan sekali gus meletakkan TFC satu gol di hadapan selepas menjaringkan gol pada minit ke-25 perlawanan menewaskan Izham Tarmizi Roslan.

WhatsApp Image 2023-10-29 at 23.34.32

Sebahagian aksi pemain Sri Pahang cuba merobek benteng pertahanan Terengganu. — Facebook/MFL

Bersambung babak kedua, Terengganu menambah jaringan kedua pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma cantik Nazari untuk meledak gol peribadi keduanya dan meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun, hasrat Terengganu untuk membawa pulang tiga mata musnah selepas Sri Pahang bangkit meledak dua gol dalam tempoh singkat pada penghujung perlawanan.

Penyerang import dari Brazil, Rafael Feital Da Silva meledak gol pertama pada minit ke-78 sebelum pemain naturalisasi, Sergio Aguero muncul wira pasukan menjaringkan gol penyamaan dua minit berselang.

Dalam pada itu, rata-rata penyokong Sang Penyu tidak berpuas hati dengan tindakan yang kurang bijak dilakukan oleh penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim yang mudah membenarkan pasukan tuan rumah mencetak jaringan.

"Mana gop hok nak sangat keeper tu, lawan Selangor buat mistake, malam ni pun mistake juga, out position je lah," kata Anjang Ali.

"Aaaahh penat, orang lain penat-penat buat leading dua gol, dia senang-senang bagi dua gol," kata Izhan Isaac.

"Sebab tu keeper jangan tengok ketinggian saja, refleks itu penting, tinggi sama tinggi dengan palang kalau lembab tidak guna juga," kata Luth Ariff.

"Nampak sangat dah kelemahan keeper dekat mana," kata Farhan Husin.

Keputusan seri itu menyaksikan Sri Pahang kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul 44 mata sementara Terengganu turut tidak berganjak dari posisi keenam selepas memungut 36 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram