KEBELAKANGAN ini, kedengaran di media sosial bahawa hampir separuh daripada 14 pasukan yang bertanding dalam Liga Super berdepan isu kewangan dan tunggakan gaji.
Masalah berkenaan pada awalnya dilaporkan melanda Kelantan FC apabila beberapa pemain bertindak meninggalkan kelab itu bagi mencari pasukan lebih baik.
'Penyakit' itu bagaimanapun dilihat kian merebak apabila terdapat dakwaan di media sosial mengatakan kira-kira empat kelab lain turut mengalaminya.
Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Negeri Sembilan FC dikatakan sebagai antara yang terkesan meskipun tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan.
Tetapi, isu tersebut mula didengari apabila segelintir pemain memilih untuk mendedahkannya di laman media sosial baik secara tersirat mahupun tersurat.
Pendedahan Naqib di media sosial membuka mata pelbagai pihak mengenai isu gaji KDA FC.
Terbaru, pemain muda KDA FC, Naqib Sharipuddin tampil menceritakan bahawa dirinya menjadi 'mangsa' atas keculasan pihak pengurusan kelab untuk melunaskan tunggakan gaji.
Pendedahan yang dibuat di laman Instagram peribadinya itu kemudiannya sempat ditangkap layar beberapa penyokong sehingga meraih perhatian media tempatan yang lantas membuat laporan mengenainya.
Ia bukanlah insiden pertama kali yang menyaksikan pemain Liga Super membuat perkongsian sebegitu apabila segelintir yang lain juga pernah berbuat sedemikian.
Pendekatan itu menimbulkan persoalan mengenai etika dan tahap profesionalisme pemain yang sudah tentu mempunyai klausa kontrak yang menghalang mereka daripada berbuat sedemikian.
Selain mencemarkan imej serta reputasi kelab, pendedahan begitu dilihat hanya akan menjejaskan hubungan dengan kelab masing-masing.
Kelantan FC merupakan antara pasukan paling terjejas akibat masalah gaji. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tetapi, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Jamal Nasir, mereka sudah pastinya memahami situasi sebelum membuat keputusan sedemikian.
"Besar kemungkinan mereka sudah bertemu pihak pengurusan dan mungkin mereka tidak membuat tindakan sewajarnya, jadi mereka pun mengatakan bahawa mereka teranaiya.
"Gaji ini merupakan periuk nasi mereka. Kalau sudah tidak dibayar, bagaimana mereka mahu membayar tanggungan seperti rumah, bil kereta dan anak-anak bini," katanya kepada Majoriti.
Isu tunggakan gaji sememangnya bukanlah perkara baharu dalam Liga Super apabila beberapa kelab juga pernah terjebak dalam masalah berkenaan, termasuk Melaka United dan Sarawak United pada musim lalu.
Meskipun adanya desakan demi desakan dibuat, pihak pengurusan seperti berdegil untuk menyelesaikannya sehingga hal-hal kebajikan pemain terus terabai.
Hampir separuh kelab Liga Super 2023 difahamkan terlibat dengan isu gaji. — Vocket FC
Tambah Nasir lagi, cabaran dan tekanan dihadapi pemain mendesak mereka membuat pendedahan sebegitu meskipun memahami nasib bakal dialami.
Bagaimanapun, baginya, tindakan terhadap mereka yang mengambil jalan tersebut hanya boleh diputuskan kelab berdasarkan kontrak antara mereka sebelum ini.
"Mungkin dalam perjanjian sudah tertulis sebelum ini yang menghalang sebarang isu daripada dibawa keluar. Jadi, tindakan yang dibuat pihak pengurusan dibuat berdasarkan tindakan pemain itu.
"Jadi, mungkin juga pemain ini sudah sedia untuk menerima risiko. Sama ada mereka dibuang atau apa-apa sahaja, mereka mungkin sudah tidak kisah kerana hati dan jiwa sudah tidak ada lagi untuk bermain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram