KELANTAN FC yang kini semakin dihimpit dengan isu luar padang seperti tunggakan gaji, masalah padang latihan dan sekatan pendaftaran pemain sedikit sebanyak membuatkan prestasi kelab tersebut turun dengan mendadak.
Setakat 21 perlawanan yang sudah diharungi skuad The Red Warriors (TRW) itu, Kelantan FC kini hanya merekodkan dua kemenangan, dua seri dan 17 kekalahan sehingga menyaksikan kelab dimiliki oleh Norizam Tukiman itu sekadar memungut lapan mata.
Oleh itu, tidak hairanlah jika sebelum ini pemain import terakhir, Leonardo Rolon difahamkan sudah meninggalkan pasukan itu selepas memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya sekitar 15 Oktober lalu.
Dalam perkongsian tersebut, bekas pemain Piala Dunia Bawah 20 Argentina itu memberi ucapan penghargaan kepada Kelantan dan penyokong pasukan berikutan sokongan yang diberikan sepanjang dia menyarung jersi TRW.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan semua peminat kerana sentiasa menyokong. Terima kasih Kelantan dan penyokong," katanya.
Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/leorolon8
Namun, tak sempat Kelantan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perpindahan pemain berusia 28 tahun itu, muncul berita baharu menyatakan perpisahan Rolon tidak diterima oleh pihak pengurusan skuad TRW.
Pendedahan tersebut dikongsikan sendiri oleh laman penyokong TRW di platform media sosial X, Berita Bola Kelantan, yang mana memaklumkan bahawa ketidakcukupan pemain menyebabkan Rolon terpaksa mengeluarkan keringat untuk pasukan tersebut.
"Khabarnya Leonardo Rolon membuat 'comeback' (kemunculan semula) setelah pemergiannya 'tidak mendapat restu' kerana jumlah pemain tidak mencukupi dalam kem ketika ini," tulis laman tersebut pada Jumaat.
Untuk rekod, penyerang sayap itu setakat ini mencetak empat gol daripada 11 perlawanan Liga Super, selain pernah membawa pasukan Kelantan FC meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan mencetak dua gol.
Sekiranya kenyataan dari laman penyokong itu benar, kehadiran Rolon sekurang-kurang boleh membantu Kelantan untuk menambah mata daripada baki lima perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram