TUMPUAN penuh masih perlu diberikan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super meskipun sudah sah ditabalkan sebagai juara beberapa minggu lalu.
Walaupun fokus pasukan kini teralih kepada saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala Malaysia, empat perlawanan berbaki masih memainkan peranan cukup penting buat skuad Harimau Selatan.
Mereka yang hanya mencicirkan dua mata sepanjang musim semestinya tidak mahu mensia-siakan peluang meneruskan rentak cemerlang itu.
Sasaran mereka tersebut kini berdepan cabaran tersendiri apabila JDT akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk aksi menentang skuad Kijang Hijau pada Sabtu.
Meskipun kedua-dua pasukan mempunyai jarak cukup besar dalam carta Liga Super, ia tidak menjadi sebab untuk ketua jurulatih JDT, Esteban Solari untuk memandang rendah kebolehan lawannya itu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah dalam saingan Liga Super Mei lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Saya masih berasakan ia akan menjadi satu perlawanan cukup sukar kerana ia akan berlangsung di tempat lawan dan Kelantan United pastinya akan cuba membuktikan sesuatu.
"Tetapi, kami akan cuba untuk memberikan yang terbaik dengan mengerah tenaga sebaik mungkin sepanjang perlawanan untuk meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super," katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan JDT mudah membenam pasukan Pantai Timur berkenaan dengan skor 6-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mei lalu.
Sekiranya mencatatkan kemenangan, skuad Harimau Selatan berpeluang mencatatkan 67 mata daripada 23 perlawanan dengan ia mampu menjadi rekod baharu buat mereka.
Bagi Kelantan United pula, kekalahan di tempat sendiri dalam perlawanan itu akan menutup peluang mereka untuk menamatkan musim debut Liga Super dalam kelompok 10 pasukan terbaik. — The Star/LIM TEIK HUAT
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram