[VIDEO] Ada sebab penyokong Perak samakan Wan Zack Haikal dengan Indera Putera


  • Podium
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Bersama Perak musim ini, Wan Zack telah menjaringkan 10 gol dalam dua kejohanan berbeza. — Facebook/Perak FC

KEBANGKITAN Wan Zack Haikal bersama Perak FC musim ini ternyata mengubah persepsi penyokong The Bos Gaurus terhadap prestasi longlai pasukan sejak dipegang oleh Yusri Che Lah.

Kelibat pemain sayap itu yang mengalami kecederaan pada awal musim mula menambat hati penyokong-penyokong selepas dia mempamerkan aksi menakjubkan untuk membantu Perak melakukan kejutan lebih-lebih lagi dalam kejohanan Piala Malaysia.

Berikutan persembahan yang menakjubkan oleh pemain berusia 32 tahun itu, penyokong Perak menyifatkan Wan Zack masih layak untuk diberi peluang mewakili Harimau Malaya.

Wan Zack

Wan Zack pernah beraksi bersama FC Ryukyu.

Seorang penyokong, Megat Ashmir dalam Facebook berasakan situasi sama seperti Indra Putra Mahayuddin wajar diberi tumpuan oleh Kim Pan-gon untuk membawa Wan Zack sebagai pemain kedua di belakang Arif Aiman ataupun Faisal Halim.

"Adakah anda ingat masa 2014? Inda Putra dapat panggilan 'last' minit ke dalam kem kebangsaan untuk Piala AFF.

"Jika ikutkan, zaman itu bukan lagi 'prime' untuk Indra Putra, tapi jurulatih Malaysia masa itu Datuk Dollah Salleh percaya yang Harimau Malaya memerlukan sesuatu di bahagian serangan.

"Indra Putra sekadar 'super-sub' tapi mampu memberikan impak dan gol penting di saat Malaysia perlukan hinggalah layak ke final bertemu Thailand," katanya.

Tambahnya lagi bersama Perak, Wan Zack dilihat tenang menewaskan dua pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) dan itu membuatkan dia rasa bekas pemain FC Ryukyu itu layak beraksi di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya.

"Berbalik ke Perak FC, anda tak rasa ke berdasarkan prestasi semasa Wan Zack Haikal, layak untuk dapat 'call up' Malaysia terutamanya perlawanan Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

"Ini kerana masa lawan JDT minggu lepas, Wan Zack mampu menewaskan Matt Davies dan Shahrul Saad.

"Saya percaya dengan pengalaman dan prestasi semasa, Wan Zack mampu untuk menjadi 'back up' pemain sayap negara seperti Arif Aiman atau Faisal Halim.

Musim ini bersama Perak, Wan Zack tampil dalam 13 perlawanan Liga Super dan sudah menjaringkan lima gol manakala di Piala Malaysia pula dia meledak lima jaringan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram