Fans QPR tak puas hati, minta tukar pengurus tapi dapat nama stadium baharu


  • Podium
  • Sabtu, 28 Okt 2023

Keputusan menjenamakan semula nama stadium Loftus Road tidak disenangi penyokong QPR. — Agensi

UMUM mengetahui yang bola sepak Malaysia bukanlah yang terbesar di Asia apatah lagi peringkat dunia. Namun begitu, negara kita masih lagi mempunyai pengaruhnya terhadap sukan ini di tahap global.

Kita pernah melihat jenama dari Malaysia membuat kemunculan seperti syarikat automotif negara iaitu Proton menaja kelab England, Norwich City.

Malah, rakyat Malaysia turut memiliki kelab-kelab bola sepak luar negara seperti Tan Sri Vincent Tan yang memiliki Cardiff City dan Tan Sri Dr Tony Fernandes pernah menguasai Queens Park Rangers (QPR).

Tony mungkin sudah tidak bersama-sama QPR lagi sebagai pemilik, namun begitu pengaruh Malaysia di dalam kelab tersebut masih lagi ada.

Baru-baru ini, sebuah agensi kerajaan negara kita iaitu Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah mendapatkan hak penjenamaan (naming rights) terhadap stadium QPR.

Stadium QPR yang dikenali sebagai Loftus Road itu kini dijenamakan menjadi Matrade Loftus Road atas faktor penajaan agensi kerajaan tersebut kepada kelab divisyen dua England itu.

Keputusan itu dibuat atas faktor pemilik bersama kelab iaitu Ruben Gnanalingam yang turut menjadi ahli lembaga pengarah agensi kerajaan tersebut. Ia sedikit sebanyak melicinkan urusan penajaan dilakukan.

Keputusan yang dilakukan oleh QPR dengan menjenamakan semula stadium mereka menerima reaksi pelbagai daripada penyokong. Perlu diingat, dalam konteks bola sepak Inggeris, mengubah nama stadium atas faktor penjenamaan adalah 'dosa besar' di mata mereka.

Penyokong QPR berpendapat adalah lebih baik kelab mengutamakan isu prestasi pasukan yang jatuh merudum dengan mendapatkan pengurus baharu untuk menggantikan Gareth Ainsworth.

_124853276_shutterstock_editorial_12948655dr

Walaupun berwajah ganas, tetapi Gareth Ainsworth gagal membawa kejayaan kepada QPR. — Agensi

Ainsworth kini menjadi kecaman penyokong kerana telah meletakkan QPR di kedudukan kedua terakhir saingan EFL Championship.

"Daripada namakan balik stadium, baik ganti dulu pengurus sebelum nama stadium kesayangan yang baru tu bermain di EFL League (divisyen tiga England)," kata penyokong bernama David Maltman.

"Oh Tuhan! Selesaikan dulu urusan bola sepak," komen Trevor Bolt.

"Panggillah apa pun, ia tak akan ubah persembahan buruk di atas padang," kritik Dave Counsell.

Loftus_Road_38

Walaupun bertukar nama, tetapi gelanggang ini akan kekal dikenali sebagai Loftus Road bagi penyokong QPR. — Agensi

Namun begitu, ada juga penyokong yang mengalu-alukan tindakan QPR ini. Mereka berharap penjenamaan semula nama stadium akan membantu kelab mendapatkan pendapatan tambahan.

Pendapatan itu boleh membantu pasukan untuk mencari pengurus baharu yang lebih baik berbanding Ainsworth.

"Bagus. Harapnya duit (penajaan) akan cukup untuk menyingkirkan Gareth Ainsworth dan mungkin mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan akan datang," kata penyokong bernama Jeff Craft.

"Tindakan ini boleh menjadi tindakan bagus jika ia membantu kelab mendapatkan pengurus baharu untuk gantikan Ainsworth serta barisan kejurulatihannya yang tak guna tu," kata Kevin Tuck.

Dalam konteks bola sepak Malaysia, keputusan Matrade untuk melaburkan wang kepada kelab asing bukanlah satu tindakan yang baik.

Ini sedikit sebanyak memberikan tamparan kepada Liga Malaysia kerana agensi negara sendiri lebih berminat menaja kelab luar berbanding membantu pasukan-pasukan tempatan yang mengalami masalah kewangan.

Ia turut memberikan mesej halus yang pihak konglomerat dan hartawan di Malaysia tidak berminat melabur kepada bola sepak tempatan. Sesuatu yang misteri menyelubungi bola sepak tempatan dan perlu dirawat.

Jika tidak dirawat, sukan nombor satu negara kita ini tidak akan maju sampai bila-bila. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram