JDT jadi sasaran Annil lepas tabur bakti di liga Jerman


  • Podium
  • Ahad, 29 Okt 2023

Annil ketika menyertai skuad bawah 19 tahun kelab Jerman, Sandhausen. — Instagram/Annil

PEMAIN muda negara, Annil Vigneswaran berhasrat memberikan impak positif di divisyen tiga Bundesliga Jerman selepas menandatangani kontrak dengan Waldhof Mannheim.

Annil kelahiran Kajang itu menandatangani kontrak setahun dengan Waldhof baru-baru ini dan akan bermain untuk pasukan Bawah 21 tahun kelab tersebut.

“Saya menandatangani kontrak kira-kira seminggu yang lalu dengan Waldhof dan sejak itu saya telah memulakan latihan setiap hari dengan kelab berkenaan.

"Tetapi saya hanya boleh bermain selepas 20 November ini kerana urusan peraturan perpindahan di negara tersebut," katanya.

Untuk rekod, pengalaman bermain bersama Waldhoff adalah bukan kali pertama pemain berusia 20 tahun itu mendapat peluang beraksi di luar negara.

Ini kerana, Annil sebelum ini juga pernah bermain untuk pelbagai pasukan liga bawahan di Belanda dan Jerman sejak berusia 15 tahun.

Annil menerima peluang keemasan pada usia 12 tahun untuk bermain buat masa yang singkat bersama kelab gergasi Belanda, Ajax Amsterdam.

WhatsApp Image 2023-10-29 at 08.32.42

Annil ketika diumumkan secara rasmi sebagai pemain Waldhoff Manheim. — Instagram/Annil

“Saya bertuah kerana mendapat peluang bersama Ajax.

"Saya berada di sana selama enam bulan sebelum pulang ke Malaysia. Saya bermain untuk Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) sehingga umur saya 15 tahun.

“Kemudian, saya mendapat peluang untuk pergi ke kelab Bundlesliga peringkat kelima, SGV Freiberg.

“Ketika saya berumur 17 tahun, saya berpindah ke pasukan divisyen dua SV Sandhausen dan bermain untuk pasukan Bawah-19 selama setahun sebelum berpindah ke Freiburger FC.

"Saya berada di Freiburger selama setahun sebelum menandatangani kontrak untuk Waldhoff," tambah Annil.

Pemain muda yang berkebolehan untuk beraksi di bahagian pertahanan atau jentera tengah itu berkata, peranannya dalam pasukan adalah bergantung kepada jurulatih.

“Ia merupakan pengalaman yang hebat untuk saya di Jerman. Sudah tentu tahapnya sangat tinggi di sini tetapi ia bagus untuk bermain dengan pasukan teratas," jelasnya.

Bukan mudah untuk Annil meninggalkan keluarga dan negara pada usia yang begitu muda tetapi dia telah menyesuaikan diri dengan baik.

WhatsApp Image 2023-10-29 at 08.32.41

Annil (dua dari kanan) juga pernah mendapat panggilan Harimau Muda. — Instagram/Annil

“Ia pada mulanya sukar kerana ia adalah negara, budaya dan bahasa baharu.

“Tetapi dengan masa, saya berjaya mencari kawan baik dan belajar menyesuaikan diri dengan segala-galanya.

"Saya boleh bercakap bahasa Jerman dengan baik sekarang," kongsi Annil yang sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara.

Annil yang mula bermain bola sepak pada usia tujuh tahun, kini berminat untuk menarik perhatian jurulatih di kelab baharunya.

“Jika saya berlatih dan beraksi dengan baik, saya akan mendapat peluang dalam pasukan utama di Waldhoff juga.

“Semuanya berjalan lancar setakat ini. Saya mendapat maklum balas yang baik daripada jurulatih. Saya juga mempunyai kawan baik yang seperti keluarga kepada saya.

"Saya berharap menjadi rakyat Malaysia pertama yang bermain dalam Bundlesliga suatu hari nanti.

"Jika saya tidak ke sana, yang terbaik untuk saya seterusnya ialah kelab Jepun, Korea atau Johor Darul Takzim (JDT) Malaysia," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram