Ubai mungkin tak dapat main, coach cakap ada tugas lain


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Terengganu FC II terus dominan sebagai pendahulu Liga Juara Piala MFL selepas menewaskan KDA B. — Facebook/TFCII

TERENGGANU FC II yang dibimbing oleh bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar atau lebih mesra dengan panggilan Hai-O berjaya mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir edisi sulung liga simpanan Bawah 23 tahun (B-23) iaitu Piala MFL 2023.

Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu berjaya mengesahkan tempat tersebut selepas melakar kemenangan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC B dengan keputusan 2-1 pada 23 Oktober lalu.

Skuad yang dibimbing bekas penyerang negara, Hai-O itu juga berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga.

WhatsApp Image 2023-10-27 at 11.56.29

Skuad TFC II berjaya mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Piala MFL. — Facebook/TFCII

Kecemerlangannya membimbing pemain muda Terengganu menerima pujian daripada penyokong kelab Pantai Timur itu terutamanya selepas bekas penyerang kebangsaan itu berjaya membawa pasukannya ke perlawanan akhir.

Ditanya mengenai persediaan perlawanan akhir saingan Piala MFL, Hai-O berkata, pasukannya kini berada dalam momentum terbaik namun dijangka akan kehilangan khidmat beberapa pemain utama.

"Memang kita sedang dalam persiapan cuma sekarang ada baki perlawanan, tapi Terengganu dah layak ke final.

"Mungkin kami akan rehatkan beberapa pemain untuk baki perlawanan MFL.

"Saya kena lihat lagi kerana keutamaan bagi pemain seperti Syahmi Zamri dan Ubaidullah Shamsul Fazili adalah kepada skuad utama," katanya kepada Majoriti.

Hai-O berkata, sekiranya jadual perlawanan skuad utama tidak bertindih dengan aksi Piala MFL, tentunya dia akan meminta kebenaran kepada pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner untuk meminjam khidmat kedua-dua tonggak tersebut.

"Jika jadual aksi skuad utama tidak bertindih dengan jadual perlawanan akhir, mungkin dapat kebenaran untuk guna khidmat mereka berdua," ujarnya.

Tambahnya lagi, kemungkinan besar beberapa pemain di bawah kendaliannya akan diserap masuk ke skuad utama.

"Ada beberapa dari pasukan saya akan diserap ke TFC, antaranya Muslihuddin 'Atiq Mat Zaid, Nur Azfar Fikri Azhar dan Faris Rifqi Abdul Rashid.

"Tapi saya kena bincang dengan coach TFC mengenai pemain yang sesuai untuk bermain di final nanti," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram