SEPERTI belum menemui titik noktah, penyokong Kelantan FC dilihat sering disajikan dengan masalah pengurusan kelab yang menyaksikan pemain serta staf kejurulatihan tidak dibayar gaji.
Malah, baru-baru ini, menerusi perkongsian di Instagram salah seorang pemain muda Kelantan, pasukan itu dilihat sedang menghadapi isu lain yang menjadi punca utama prestasi kelab itu merosot.
Dalam perkongsian di media sosial itu, selain isu tunggakan gaji, masalah lain yang turut terpalit adalah ketiadaan air, padang latihan dan dikhabarkan pasukan itu ketika ini berdepan dengan kekurangan pemain.
Tangkap layar hantaran tersebut memaparkan CEO beri penjelasan. — Facebook/Ahmadmuzakkirhamid
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan, Ahmad Muzakkir Hamid bagaimanapun menerusi hantaran di Facebook miliknya tampil membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh pemain muda The Red Warriors (TRW) kerana dilihat ibarat membuka pekung di dada pasukan itu.
CEO Kelantan itu turut memberi penjelasan mengenai gangguan bekalan air yang berlaku adalah disebabkan oleh kerosakan pam air dan ketika kejadian itu sedang dibaik pulih oleh pihak kontraktor.
"Assalamualaikum, mengenai satu video dan gambar yang jadi viral saya telah dimaklumkan bahawa masa kejadian air bukan dipotong, kerosakan pam air ketika itu berlaku dan pada masa itu kontraktor sedang baik pulih.
"Di luar pengetahuan saya kenapa player viralkan sesuatu yang tidak beri gambaran sebenar.
"Ia menjadi satu kesalahan jika benar yang viral itu datangnya dari player kerana semua player yang menyertai kelab bola sepak ia sudah maklum dengan perkara ini," katanya di Facebook.
Muzakkir bagaimanapun turut membuat maklum balas terhadap empat perkara yang didedahkan oleh pemain muda TRW tersebut.
Berhubung isu tunggakan gaji, Muzakkir mengakui ada kelewatan sedikit namun akan diselesaikan secepat mungkin.
"Gaji X (tiada) - kita telah akui tertunggak, kita telah nyatakan terdahulu akan selesaikan cepat atau lambat.
"Padang latihan X (tiada) - kita dapat kelulusan permohonan sewa di tempat baru.
"Player tak cukup X (tiada) - di bawah pengetahuan saya, player cukup," katanya.
Bagaimanapun, CEO Kelantan itu turut mendoakan kejayaan pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu kerana dijadual berdepan Perak FC pada saingan Liga Super.
"Apa pun esok kita bertemu Perak FC saya mendoakan semuanya kejayaan. Setelah berusaha kita berdoa," tulisnya.
Selepas ini, Kelantan akan berdepan Perak FC dalam saingan Liga Super 2023 bagi melengkapkan perlawanan pusingan kedua pada 28 Oktober. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram