Senarai 'backup plan' Kedah lepas bintang tinggalkan Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Difahamkan beberapa pemain Kedah juga akan mengikut jejak Rodney meninggalkan Kedah. — Facebook/KDAFC

ISU tunggakan gaji yang dikhabarkan melanda Kedah Darul Aman (KDA) FC seakan-akan masih tidak menemui jalan penyelesaian susulan pihak pengurusan Sang Kenari masih enggan memberi sebarang penjelasan mengenainya.

Masalah dalaman itu sehingga kini hanya menjadi cakap-cakap penyokong dan ada juga didedahkan dari beberapa pemain seperti baru-baru ini pemain Piala MFL skuad Hijau Kuning, Naqib Sharipuddin berkongsi perkara tersebut di laman Instagram peribadinya.

Jika benar, isu tunggakan gaji ini bukan hanya mencabul hak para pemain Hijau Kuning tetapi juga akan mengakibatkan beberapa pemain utama memilih untuk menyarung jersi pasukan lain pada musim depan dek kerana bosan menghadapi perkara sama.

Sekiranya senario beberapa pemain utama KDA FC itu berlaku pada musim depan, pasti pihak pengurusan perlu memikirkan alternatif lain seperti pemain muda ataupun import dengan harga 'rahmah' untuk menggantikan tonggak tersebut.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga nama yang boleh dipertimbangkan pada jendela perpindahan akan datang akibat isu pengurusan yang dialami KDA FC itu semakin melarat:

1) Fazrul Amir

fazrul amir

Fazrul Amir beraksi dalam 19 perlawanan untuk Kelantan FC pada musim ini. — Facebook/TRW

Pemain tengah, Fazrul Amir Zaman musim ini boleh dicakap seperti permata yang mula membuktikan nilainya bersama skuad senior dan persembahan berkualitinya membuatkan dia semakin menjadi rebutan Sri Pahang FC serta KDA FC.

Malah, sebelum ini Fazrul Amir juga dilaporkan hampir menjadi tonggak sayap secara pinjaman KDA FC untuk menyelesaikan isu ketempangan pemain sayap kiri selepas Al Hafiz Harun ke pasukan jiran, Penang FC.

Tonggak The Red Warriors (TRW) itu bagaimanapun tidak menyarung jersi tersebut pada jendela perpindahan Julai lalu dan meneruskan perjuangan bersama kelab Pantai Timur tersebut.

Musim ini, pemain berusia 23 tahun itu merekodkan tiga jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 17 perlawanan Liga Super dia diturunkan.

2) Kpah Sherman

kpah

Kpah tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri bersama sesebuah pasukan. — Facebook/SriPahang

Penyerang prolifik Sri Pahang FC, Kpah Sherman membuktikan bahawa dia masih berbisa di hadapan gawang apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Tok Gajah pada musim ini sejak menyertainya pada awal saingan 2023.

Pemain berusia 31 tahun itu menjadi ayam tambatan Tok Gajah di bahagian serangan apabila berjaya menjaringkan 11 gol dalam 20 perlawanan setakat ini.

Selain pernah mewakili pasukan Hijau Kuning yang boleh menjadi faktor dia sesuai untuk dibawa kembali ke Darul Aman, bersatu bersama Nafuzi Zain juga boleh mempengaruhi Kpah untuk menjadi pemain Kedah. Kpah pernah berguru bersama pengendali muda tu ketika bersama TFC pada musim lepas.

Malah, Sang Kenari juga boleh membawa penyerang kelahiran Liberia tersebut dengan harga yang berbaloi susulan usianya sudah agak berumur.

3) Irfan Zakaria

irfan

Irfan menyertai Sabah FC pada musim 2023 dari Kuala Lumpur City FC. — Facebook/SabahFC

Pemain pertahanan kacukan Bidayuh-Ghana, Rodney Calvin sah meninggalkan skuad Hijau Kuning meskipun mempunyai baki kontrak lagi semusim bersama Sang Kenari.

Perkhabaran mengejutkan itu disampaikan oleh MHazriq Fahimy Abdullah dalam Facebook yang mana Rodney mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal atas permintaan dirinya sendiri.

Susulan kehilangan bek tengah itu, pemain Sabah FC, Irfan Zakaria seakan-akan pengganti ideal untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan dan sekali gus menyarung semula jersi KDA FC.

Ketinggiannya yang mencecah 1.82 meter itu merupakan satu kelebihan apabila dia mudah memintas hantaran lintang lawan sebelum menjadi ancaman kepada kubunya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram