Pemergian Bonai ditangisi, CEO Kedah didesak berikan penjelasan


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Rodney Celvin menamatkan tempoh tiga tahunnya bersama-sama Kedah Darul Aman FC. — Facebook/KDA FC

BERITA mengenai pemergian pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Celvin telah memberikan tamparan hebat buat penyokong mereka.

Selepas tiga musim bersama-sama, pemain yang berasal dari Sarawak ini memilih untuk membawa haluan sendiri selepas sebelum ini menyertai Sang Kenari menerusi pinjaman daripada Selangor FC.

Selepas berjaya menunjukkan persembahan baik, KDA kemudiannya terus melamar Rodney untuk berpindah secara kekal. Namun kini, segalanya sudah berakhir buat Rodney dan KDA.

Rodney dilaporkan mempunyai setahun lagi dalam kontraknya membuatkan keputusan untuk meninggalkan Sang Kenari lebih awal dengan destinasi seterusnya masih menjadi tanda tanya.

Pemergian Rodney yang mesra disapa sebagai Bonai dalam kalangan penyokong telah menimbulkan kesedihan. Rata-rata penyokong berasa sedih atas pemergian pemain yang dianggap sebagai pertahanan yang "boleh diharap".

393304412_363291459385371_8708425933119021587_n

Rodney Celvin kini bukan lagi pemain KDA. — Facebook/KDA FC

"Biar jasa jadi kenangan Bonai," kata penyokong bernama Asryy Ahmad.

"Terima kasih Bonai," komen Muhammad Danish Hakim.

"Selamat tinggal Bonai, terima kasih atas jasa (dan) bakti. Biar jasa jadi kenangan," ujar Abu Luqman pula.

Pemergian Rodney membuka lebih banyak persoalan dalam kalangan penyokong mengenai apa yang terjadi dalam pasukan KDA ketika ini.

Penyokong benar-benar mahukan pengurusan tertinggi KDA tampil menjelaskan apa yang terjadi kerana ketika ini KDA seolah-olah dalam pelbagai masalah.

Dengan pelbagai spekulasi mengenai pembayaran gaji dan potensi kelab akan dibubarkan, tidak hairan jika penyokong berasa risau dengan keadaan ini.

"Tahun depan Tan Sri (Daud Bakar) pun tak ada ka? Bin Zayed ada lagi tak? Takkan nak jadi macam Kelantan baru nak ada akal wahai tuan CEO?," soal penyokong bernama Muhammad Aliep.

"Dengar cerita, Rodney keluar. CEO terpaling panjang (tulis) cerpen, bawa masuk Harry Maguire sebagai ganti. Trust the process, tahun depan kita buat balik," kata Muhd Fuad.

"Terbaik CEO KDA jadi macam Zamsaham dah. Eloklah tu ramai keluar dari Kedah. Pengurusan KDA nanti boleh jadi pemain di setiap posisi. CEO jadi kapten pakai jersi nombor tujuh," komen Mohamad Shah.

KDA akan bertemu Negeri Sembilan FC pada 28 Oktober ini. Sepak mula adalah pada 5.30 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram