KERJASAMA yang dirancang oleh pasukan Liga Super, Perak FC dengan kelab Liga 1 Indonesia, Borneo Samarinda telah menyaksikan satu jalinan baharu tercipta antara dua negara.
Jalinan dua hala ini pastinya akan membuka pelbagai peluang untuk Perak dan Borneo Samarinda meningkatkan nilai mereka sebagai sebuah pasukan.
Ikatan yang terjalin oleh kedua-dua pasukan ini pastinya akan memberikan manfaat terutamanya untuk Perak yang sedang dalam proses pembinaan semula.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyaksikan tiga bahagian kerjasama yang boleh membantu Perak dalam hubungan dua hala mereka bersama-sama Borneo Samarinda:
1. Memudahkan perpindahan pemain
Lazimnya, antara manfaat yang diperoleh jika kerjasama dilakukan adalah kemudahan dalam urusan perpindahan pemain.
Selalunya, sesebuah kelab lebih cenderung untuk melakukan urus niaga perpindahan pemain bersama-sama rakan kerjasama mereka berbanding pasukan lain. Situasi ini akan kelihatan apabila melibatkan pinjaman pemain.
Sebagai contoh, Borneo Samarinda ada beberapa pemain berpotensi yang boleh dipinjam. Mereka akan lebih cenderung untuk meminjamkan pemain mereka kepada Perak berbanding lawan di Liga 1 Indonesia atau kelab Liga Super yang lain.
Hal ini kerana jalinan kerjasama yang dilakukan oleh kedua-dua kelab. Seandainya Perak pula hendak menghantar pemain mereka ke luar demi mendapatkan minit permainan, Borneo Samarinda adalah destinasi pilihan.
2. Peluang jana pendapatan
Peluang untuk Perak dan Borneo Samarinda menjana pendapatan baharu boleh dilakukan hasil daripada kerjasama ini.
Kerjasama ini boleh dilihat secara terang-terangan seperti kedua-dua pasukan mengadakan perlawanan persahabatan ketika pra-musim.
Stefano Lilipaly antara bintang dalam Borneo Samarinda. — Facebook/Borneo Samarinda
Sewaktu pra-musim, mereka boleh mengadakan dua perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Segiri, Samarinda. Hasil jualan tiket boleh dibahagikan sama rata antara dua pasukan.
Selain itu, ketika perlawanan persahabatan, jualan barangan rasmi kelab boleh dilakukan. Dengan cara ini, penyokong kedua-dua pasukan boleh mengumpul barangan rasmi Perak dan Borneo Samarinda menjadi koleksi mereka.
Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu kedua-dua kelab menjana pendapatan tambahan dan suntikan dana ketika pra-musim.
3. Meluaskan jaringan pencarian bakat
Setiap kelab pastinya mempunyai sekumpulan pegawai yang ditugaskan untuk mencari bakat untuk dibawa menyertai pasukan.
Tidak semua kelab mempunyai jaringan pencarian bakat atau scouting network yang luas. Sesetengah kelab hanya ada jaringan kecil kerana kekurangan bajet.
Dengan kerjasama ini, Perak secara tak langsung meluaskan jaringan pencarian bakat mereka hasil hubungan bersama-sama Borneo Samarinda.
Perak boleh memanfaatkan kerjasama bersama Borneo Samarinda dalam hal pencarian bakat. — Facebook/Perak FC
Pencari bakat di Borneo Samarinda boleh membantu rakan sejawat mereka di Perak untuk mendapatkan pemain yang bersesuai di kawasan yang tidak pernah diterokai.
Mungkin selepas ini Perak akan membawa pemain import yang dianggap sebagai hidden gem ke dalam pasukan hasil bantuan Borneo Samarinda? Siapa tahu.
Kerjasama yang dilakukan oleh Perak dan Borneo Samarinda ini diharap akan memberikan manfaat sewajarnya buat kedua-dua pasukan.
Kedua-dua kelab mempunyai potensi dengan cara tersendiri. Jika kerjasama ini dapat membantu, pastinya lebih banyak kejayaan akan hadir kepada mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram