Bukan 3 mata percuma, TFC harus waspada ancaman serangan bertali-arus Stallion Laguna


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Ancaman daripada pemain Stallion Laguna tidak boleh dipandang ringan oleh Terengganu. — Agensi

TERENGGANU FC akan meneruskan cabaran mereka dalam saingan Piala AFC menentang wakil Filipina, Stallion Laguna dalam aksi ketiga peringkat kumpulan.

Kembali beraksi di laman sendiri, aksi yang bakal diadakan pada petang Khamis menyaksikan skuad Tomislav Steinbruckner ingin meneruskan rekod tanpa kalah di peringkat Asia.

Menentang pasukan terlemah dalam kumpulan mereka, Terengganu bagaimana pun tidak boleh memandang rendah ancaman Stallion apatah lagi menanggap tiga mata percuma buat skuad Penyu.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan saksikan tiga pemain yang boleh menjadi ancaman Terengganu di Gong Badak:

1. Miguel Mendoza

Miguel Mendoza merupakan pemain yang perlu diberikan perhatian oleh pertahanan Terengganu. Penyerang berkaki kanan ini merupakan ancaman bahaya buat skuad Penyu.

Stallion-Laguna_falters_resized

Miguel Mendoza harus dikawal rapi oleh pertahanan Terengganu. — Agensi

Secara statistiknya, pemain ini tidaklah begitu klinikal dari segi jaringan atau bantuan gol tetapi Mendoza merupakan penyerang yang rajin mengucar kacirkan pertahanan.

Menurut laman Sofascore, Mendoza merupakan pemain paling berprestasi tinggi dalam skuad Stallion dalam saingan Piala AFC kali ini dengan dia mempunyai rating setinggi 7.60.

Kehadirannya sendiri telah memberikan bahaya buat pertahanan lawan. Oleh itu, para pemain Terengganu perlu memastikan pergerakan Mendoza dirantai rapi supaya tidak mudah lolos terutamanya dalam kotak penalti.

2. Juan Trujillo

Satu lagi penyerang yang perlu diberikan perhatian oleh Terengganu adalah pemain dari Mexico iaitu Juan Trujillo.

Trujillo merupakan penyerang paling tajam buat Stallion musim ini. Di peringkat Asia, dia telah menghasilkan satu jaringan gol.

stallion

Trujillo (tengah, jersi merah jambu) menjaringkan gol ketika bertemu Central Coast Mariners. — Agensi

Selain daripada itu, Trujillo merupakan pemain yang berguna dalam mencipta peluang. Hasil daripada umpanannya, Stallion berjaya menghasilkan dua gol menerusi Junior Ngong Sam dan Abraham Placito.

Selain daripada Mendoza, Trujillo merupakan penyerang yang perlu diawasi dan sekiranya dua pemain ini digandingkan maka pertahanan Terengganu tidak boleh leka.

3. Shirmar Felongco

Shirmar Felongco merupakan pemain pertahanan Stallion yang perlu diberikan perhatian. Merupakan antara pemain senior dalam skuad, pertahanan ini antara yang kental bertahan bagi wakil Filipina ini.

86969918_3192065004137667_6298450087953563648_n

Felongco pernah beraksi untuk Kaya FC. — Agensi

Walaupun gawang Stallion dibocori dengan sembilan gol ketika bertemu Central Coast Mariners, tetapi Felongco tetap memberikan persembahan baik dan kekal menjadi antara pemain terbaik beraksi di bahagian pertahanan.

Dengan prestasi penyerang Terengganu yang tumpul ketika ini, Felongco boleh mengharungi 90 minit aksi yang santai kerana ancaman yang ada tidak berjaya diterjemah kepada jaringan.

Oleh itu, penyerang Terengganu perlu menajamkan serangan mereka untuk memastikan Felongco mengharungi mimpi ngeri apabila beraksi di Gong Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram