Hampir 20 tahun berpisah tapi San Martin masih sayang Kedah, kongsi hubungan baik dengan coach Azraai


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

San Martin (kanan) dan Azraai (dua dari kiri) sememangnya mempunyai hubungan cukup istimewa antara satu sama lain.

KEJAYAAN Kedah FA untuk menjulang kejuaraan treble buat dua musim berturut-turut bermula 2007 sememangnya sukar dilupakan penyokong Hijau Kuning.

Selain sukar diulangi, pencapaian tersebut juga boleh diangkat sebagai momen terindah buat pasukan Utara tanah air itu buat bertahun-tahun lamanya.

Bagi mereka, kejayaan berkenaan dapat dikecapi berikutan kehadiran ketua jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang amat mengenali anak-anak buahnya.

Tidak cukup dengan itu, gandingan antara pemain tempatan dan import juga membolehkan pencapaian menakjubkan tersebut mampu diraih skuad Sang Kenari.

Salah seorang pemain yang menjadi tonggak Kedah FA ketika itu ialah bintang kelahiran Chile, Nelson San Martin yang boleh beraksi dalam beberapa posisi.

1922694

Kejayaan Kedah FA menjulang kejuaraan 'double treble' sememangnya cukup menakjubkan.

Meskipun lebih sinonim sebagai seorang pemain tengah, catatan jaringannya juga tidak boleh dipandang rendah dalam musim-musim permainannya bersama pasukan itu.

Sehingga kini, nama San Martin seakan-akan dapat didengari dalam kalangan penyokong Sang Kenari yang berpendapat kualitinya sukar disaksikan dalam mana-mana pemain pasukan itu hari ini.

Perasaan itu dilihat turut dirasai pemain terbabit apabila dia baru-baru ini menzahirkan bahawa perasaannya dengan Kedah masih kukuh meskipun sudah beberapa tahun berpisah.

Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, San Martin memuat naik foto memaparkan sekeping kad Touch 'n Go khas keluaran kelab penyokong Hijaukuning.com.

Menariknya, kapsyen di hantaran berkenaan membuktikan bahawa pemain berkenaan seolah-olah masih mempunyai hubungan akrab dengan Azraai Khor.

395260679_874382284147303_8339887322541004695_n

San Martin memaparkan kad Touch 'N Go khas yang diterimanya baru-baru ini.Facebook/Nelson San Martin

"Hi coach, saya juga sudah menerima kad saya. Terima kasih kepada Hijaukuning.com atas kad keahlian yang cukup menarik ini. Layari laman sesawang mereka dan berikan sokongan anda," tulisnya.

Kad berwarna kuning hijau itu dilihat memaparkan kod HKC 0068, logo laman penyokong serta nama San Martin yang jelas tertera di bahagian hadapan.

Dalam masa sama, ia turut dikongsikan Azraai di laman Facebook peribadinya yang memuji inisiatif Hijaukuning.com untuk merapatkan diri dengan penyokong lain.

"HKC ialah kelab penyokong yang memainkan peranan besar dalam kejayaan double treble. Mereka salurkan statistik pasukan lawan pada saya sebelum tiap-tiap perlawanan.

"Bagi saya, penyokong ialah aset kita. Hubungan antara kita dengan mereka bergantung kepada bagaimana kita membuat hubungan dengan mereka," tulis Azraai.

San Martin sebelum ini pernah menawarkan diri untuk bergelar sebagai antara kakitangan kejurulatihan Kedah Darul Aman (KDA) FC meskipun tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam Liga Super.

Di samping pernah beraksi bersama Kedah FA, pemain berkenaan juga pernah beraksi dalam T-Team pada 2014, iaitu kelab terakhir dalam kariernya.

Bagi Azraai pula, keputusan untuk meninggalkan skuad Sang Kenari pada 2009 diikuti dengan liku-liku kariernya yang berbeza apabila dia juga pernah mengendalikan pasukan muda negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram