[VIDEO] Lincah dan tangkas beraksi di Korea, atlet bola tampar Indonesia terima gelaran 'ninja berkerudung'


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Megawati (tengah) tahun ini menyertai Red Sparks dalam kejohanan Liga Bola Tampar Korea Selatan musim 2023/2024. — Agensi

MUSIM 2023/24 Liga Bola Tampar Korea Selatan berjaya mencuri perhatian seluruh peminat sukan itu apatah lagi kehadiran pemain-pemain import baharu yang mewarnai kejohanan tersebut.

Atlet bola tampar Indonesia, Megawati Hagestri Pertiwi membuatkan seluruh rakyat Indonesia bangga dengan kemunculannya di dalam liga tersebut musim ini.

Megawati yang diberi gelaran 'Ninja Berkerudung dari Indonesia' itu adalah tonggak utama pasukan Daejeon JungKwanJang Red Sparks musim ini.

Menyarung jersi berwarna putih dan merah, Megawati berjaya menarik perhatian penonton dengan aksi pantas dan ketangkasannya ketika diberi kepercayaan bermain dalam perlawanan.

Jolokan 'Ninja Berkerudung dari Indonesia' itu muncul kerana aksinya yang tampil dengan imej bertudung selain kemahirannya menghalang tamparan pihak lawan.

Kebolehan atlet berketinggian 185cm itu dibuktikan dalam dua perlawanan awal liga musim ini apabila kombinasi kecepatan dan kekuatan tamparan bolanya membuatkan dia menjadi tonggak utama pasukan.

Pada perlawanan pertama menentang Hwaseorang IBK Altos, pasukannya berjaya menewaskan pihak lawan dengan skor 3-0 (25-15, 25-15,25-23) dan atlet Indonesia itu beraksi dengan baik.

Kemudiannya Red Sparks tewas dalam perlawanan kedua di tangan bekas juara Liga Bola Tampar Korea Selatan 2020/21, GS Caltex Seoul KIXX 0-3 (21-25, 22-25, 17-25).

Meskipun begitu, atlet berusia 24 tahun itu tetap mendapat pujian daripada orang ramai selepas tampil cemerlang walaupun gagal membantu pasukannya.

Beraksi di Korea bukanlah pengalaman pertama Megawati mewakili pasukan luar negara apabila dia pernah menyertai Supreme Chonburi-E.Tech (Thailand) pada 2020/21 dan Ha Phu Thanh Hoa (Vietnam) setahun selepas itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram