PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima tamparan hebat selepas pemain pertahanan kacukan Bidayuh-Ghana, Rodney Calvin sah meninggalkan skuad Hijau Kuning meskipun mempunyai baki kontrak lagi semusim bersama Sang Kenari.
Perkhabaran mengejutkan itu disampaikan oleh MHazriq Fahimy Abdullah dalam Facebook yang mana Rodney atau lebih dikenali sebagai Bonai mencapai persetujuan bersama pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya lebih awal atas permintaan dirinya sendiri.
"Tiga musim bersama Kedah, suka duka, jatuh dan bangun kita sudah rasa bersama. Berat hati melangkah pergi tetapi kehidupan serta perjuangan ini harus diteruskan.
"Rodney Celvin atau lebih mesra disapa Bonai, hadir untuk bersama Kedah sebagai pemain pinjaman dari Selangor pada musim 2021. Aksi kentalnya sebagai pertahanan tengah tidak perlu menunggu lama, berjaya memikat Coach Aidil Sharin Sahak serta para penyokong untuk melihat dia terus kekal bersama Kedah secara perpindahan tetap.
"Akhirnya impian Bonai dan para penyokong terlaksana, apabila musim 2022, Kedah berjaya mendapatkan Bonai secara tetap dengan kontrak tiga tahun sehingga 2024 dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.
"Bonai terus cemerlang bersama Kedah sehingga musim ini, walaupun pelbagai isu dalaman yang melanda, dia tetap fokus untuk memberikan yang terbaik. Rodney juga menjadi antara pilihan utama untuk Coach Nafuzi pada musim 2023 ini.
"Bonai kini telah memilih haluan baru. Meskipun masih mempunyai kontrak sehingga musim depan, Bonai dan pihak pengurusan melalui apa yang disampaikan, telahpun mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya dengan lebih awal sehingga musim ini atas permintaan dari Bonai sendiri," katanya dalam Facebook.
Rodney sah meninggalkan Kedah Darul Aman musim depan.
Menerusi penelitian perkongsian MHazriq Fahimy Abdullah kemungkinan faktor Rodney memilih untuk berpisah dengan Kedah disebabkan masalah dalaman yang didakwa sedang melanda kem pasukan Nafuzi Zain itu.
"Berita ini adalah satu lagi tamparan hebat untuk bola sepak kita (Kedah). Merasa sedih dan masih terkejut dengan apa yang terjadi, namun kita menghormati pendirian yang dibuat oleh Bonai sendiri atas sebab sebab tertentu.
"Abang berat sebenarnya saya nak tinggalkan Kedah, ikut pelan saya, saya nak main lebih lama di sini, saya dah rasa Kedah ini macam rumah kedua saya.
"Saya ada ramai di sini yang sentiasa menyokong saya, kita semua ibarat keluarga, namun saya juga mempunyai keluarga sebenar saya untuk fikirkan bersama.
"Apa-pun Abang, jika ada rezeki satu hari nanti, saya harap saya dapat kembali lagi. Terima kasih sentiasa beri nasihat, motivate dan sokong selama ini. Saya doakan abang dan pasukan Kedah sentiasa berjaya," luahnya.
Dengan pengesahan itu, maka Rodney berkemungkinan akan beraksi dengan pasukan baharu ataupun pulang ke kampung halaman bersama Aidil Shahrin di Kuching City musim depan.
Sepanjang bergelar pemain profesional, Rodney telah mewakili tiga pasukan iaitu Sarawak FA, PKNS FC dan Selangor FC sebelum menyertai Sang Kenari.
Sebelum ini, Rodney pernah dilayangkan kad merah selepas secara tidak sengaja mengasari pemain import Perak FC, Seo Seo-nung sehingga mengakibatkan kecederaan patah hidung dalam perlawanan Piala Malaysia pada Ogos lalu.
Dalam pada itu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam ciapan X mengesahkan dua pemain Liga Super sudah menamatkan kontrak lebih awal dengan pasukan masing-masing.
"Bukan satu tapi dua pemain dah 'terminate contract' lebih awal, kedua-duanya pertahanan skuad Liga Super.
"Dua pemain skuad B23 dan akan disusuli beberapa pemain lagi," ciapnnya pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram