[VIDEO] Kecewa persembahan Sang Penyu, tapi Tomi tak mahu salahkan faktor cuaca


  • Podium
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Tomislav kelihatan kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya apabila mereka keciciran mata di laman sendiri. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS dibolosi dengan dua gol memasuki minit ke-41 permainan, Terengganu FC berjaya bangkit untuk mengikat lawan mereka dari Filipina, Stallion Laguna dalam aksi Piala AFC di laman sendiri pada Khamis.

Kegagalan penjaga gol, Suhaimi Husin pada minit keenam untuk menepis sepakan percuma Griffin McDaniel membolehkan pasukan pelawat mendapatkan kelebihan.

Kelebihan Stallion Laguna digandakan beberapa minit sebelum wisel penamat babak pertama ditiup apabila penyerang mereka, Junior Ngong Sam menghukum kealpaan benteng pertahanan Sang Penyu.

Namun, kisah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu berubah pada masa tambahan setelah pemain sayap tuan rumah, Sony Norde merapatkan jurang.

Meskipun terdapat beberapa percubaan direncanakan pada separuh masa kedua, pasukan Pantai Timur tersebut terpaksa menunggu sehingga penghujung permainan untuk kembali tersenyum.

Hantaran lintang tepat daripada Sony Norde memberikan peluang buat penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn membuat tandukan, sekali gus memastikan satu mata dibawa pulang Terengganu FC.

Keputusan berkenaan memastikan skuad Sang Penyu berjaya mengelak daripada mengalami sebarang kekalahan dalam kempen Piala AFC musim ini dengan lima mata dikutip selepas tiga perlawanan.

Bagaimanapun, kejayaan untuk meraih mata penting itu masih belum cukup untuk memuaskan hati pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner yang jelas kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya.

"Saya kecewa kerana kita bermain dengan kurang kemas hari ini. Pemain kelihatan terlalu perlahan, pelbagai kesilapan teknikal dan kerap mengecewakan dari segi membuat keputusan permainan," katanya.

Luahan berkenaan dibuat Tomislav dalam sesi sidang media selepas perlawanan dengan mengatakan kejayaan untuk membawa satu mata hanya satu perkara positif buat Terengganu FC.

KUALA NERUS, 26 Okt -- Pemain Terengganu FC (TFC) Adisak Kraison (dua, kanan) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol semasa menetang pasukan Stallion Laguna FC pada aksi Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak hari ini.Tamat perlawanan menyaksikan Terengganu FC 2-2 Stallion Laguna FC.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Skuad Sang Penyu mampu tersenyum dengan satu mata yang diperolehi mereka. Bernama

Skuad Sang Penyu kini berada di kedudukan kedua Kumpulan G Piala AFC 2023 dengan hanya satu mata membezakan mereka daripada tangga teratas yang diduduki kelab Australia, Central Coast mariners.

Jelas Tomislav lagi, kegagalan untuk memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri itu berkemungkinan berpunca daripada kepenatan yang dihadapi pemain.

"Boleh dikatakan ia adalah puncanya. Mereka kelihatan tidak ada tenaga mencukupi dengan cuaca panas juga memberi kesan kerana kita memulakan sesi memanaskan badan pada pukul 3 petang.

"Tetapi, sekali lagi, ini bukanlah alasan. Perlawanan seterusnya kita berdepan Sri Pahang FC, saya berasakan pasukan akan berwajah baharu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram