TIADA angin tiada ribut, nama Hairuddin Omar secara tiba-tiba dipetik bakal menyertai barisan kejurulatihan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan dan secara tidak langsung meninggalkan kelab Terengganu FC (TFC).
Selepas tidak lagi bersama pasukan utama Terengganu, Hairuddin atau lebih dikenali sebagai Hai-O diberi kepercayaan oleh barisan pengurusan kelab untuk menjadi pengendali TFC II bagi saingan Piala MFL.
Kecemerlangannya membimbing pemain muda Terengganu menerima pujian daripada penyokong kelab Pantai Timur itu terutamanya selepas bekas penyerang kebangsaan itu berjaya membawa pasukannya ke perlawanan akhir.
Bercakap mengenai berita perpindahan ke Harimau Selatan itu, khabar angin bermula apabila seorang penyokong Terengganu di laman Facebook menulis nama Hairuddin akan menjadi pengendali JDT II.
Walaupun hanya cakap-cakap segelintir penyokong namun ia sedikit sebanyak membawa kerisauan pengikut Terengganu yang lain kerana menyifatkan ia akan menjadi kerugian besar untuk Sang Penyu melepaskan pengendali berbakat seperti Hairuddin.
Tampil menjawab persoalan orang ramai itu, Hairuddin tidak menafikan tawaran yang diberikan oleh beberapa pasukan namun bukanlah seperti dibayangkan oleh rata-rata penyokong Harimau Selatan.
TFC II berjaya mara ke perlawanan akhir Piala MFL selepas menewaskan Kedah Darul Aman B (KDA B) 2-1 di laman sendiri. — Facebook/TFCII
Pengendali berusia 44 tahun itu bagaimanapun masih enggan memikirkan tawaran baharu itu kerana ingin memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentas akhir Piala MFL yang akan berlangsung pada 11 November nanti.
"Saya tak tahu pasal khabar angin itu. Memang ada satu dua kelab tanya saya cuma saya tak bagi jawapan sebab nak fokus Piala MFL pada 11 November nanti. Memang kontrak saya akan tamat pada penghujung musim ini.
"Tapi untuk perancangan tahun depan, saya tak rancang lagi sebab nak fokus untuk pentas akhir. Lagipun saya dikhabarkan liga akan bermula bulan April dan ada masa lagi saya nak fikirkan. Lepas final saya akan fikirkan mengenai perkara itu.
"Tiadalah dari Selatan. Tapi adalah yang bertanya, kelab biasa-biasa saja. Kelab yang menyertai Piala MFL dan Liga Super. Cuma saya tak layak lagi untuk Liga Super kerana lesen saya. Saya masih bimbing Piala MFL untuk bantu pemain muda," katanya kepada Majoriti.
Hai-O mula diberi kepercayaan melatih skuad Piala MFL pada awal musim ini. — Facebook/TFCII
Dalam pada itu, bekas penolong Nafuzi Zain di TFC itu juga berkongsi akan mempertimbangkan tawaran lanjutan kontrak dari Terengganu sekiranya pihak pengurusan kelab Sang Penyu ingin menyambungnya pada musim depan.
Dengan prestasi cemerlangnya membimbing skuad simpanan Terengganu, pihak pengurusan TFC yang kini di bawah pimpinan Mohd Sabri Abas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat yang baharu pasti menginginkan kepakaran Hairuddin.
"Mengenai lanjutan kontrak bersama Terengganu, saya akan pertimbangkan mana yang terbaik untuk saya.
"Sekarang ini saya nak jawab pun susah sebab masih sibuk dengan kejohanan dan mungkin bulan Disember saya akan beritahu hala tuju. Yang bertanya pun saya minta bagi masa untuk saya fikirkan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram