DALAM bola sepak moden, adalah kesetiaan itu seolah-olah tidak ada lagi dalam jiwa para pemain. Pemain kini cenderung untuk berpindah ke pasukan lain selepas beberapa musim.
Faktor utamanya adalah kerana tawaran gaji yang lebih lumayan selain peluang untuk memenangi piala. Disebabkan itu, semakin jarang kita melihat satu-satu pemain kekal di kelab yang sama sehingga hari persaraannya.
Jika di pentas bola sepak antarabangsa, nama seperti Francesco Totti dan Ryan Giggs adalah contoh pemain yang digelar sebagai one-club man. Tetapi di Malaysia, nama Jalaluddin Jaafar merupakan nama yang setara dengan gelaran tersebut.
Bekas ketua pasukan Pahang itu dianggap sebagai legenda dalam kamus bola sepak negeri itu. Selain kekal setia bersama Tok Gajah sehingga usianya mencecah 38 tahun, Jalaluddin telah merasai segala nikmat kejuaraan dalam kariernya.
Jalaluddin bersama kapten Kelantan, Badhri Radzi sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia 2013. — Agensi
Jalaluddin memenangi dua gelaran liga (1999 dan 2004), Piala FA (2006 dan 2014) serta Piala Sumbangsih (2014). Akan tetapi, hanya satu kejuaraan sahaja yang tidak berjaya diraihnya iaitu Piala Malaysia.
Kejuaraan itu nyata menjadi idamannya pada 2013 yang merupakan tahun terakhirnya bersama-sama Pahang. Jelas sekali, Jalaluddin mahu melengkapkan koleksi trofinya sebelum bersara.
"Hanya satu pingat sahaja yang hilang dari kabinet saya iaitu pingat Piala Malaysia dan saya ingin memenanginya sebelum saya bersara.
"Para pemain telah bekerja keras sepanjang musim dan saya percaya kami berhak untuk bermain di perlawanan akhir," kata Jalaluddin.
Pahang kemudiannya berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 selepas menewaskan Sarawak di separuh akhir untuk bertemu Kelantan di Stadium Shah Alam, Selangor.
Matias Conti menjadi wira Pahang apabila menyumbat gol tunggal perlawanan. — Agensi
Jaringan tunggal Matias Conti telah menjadikan impian Jalaluddin satu realiti dan akhirnya pingat Piala Malaysia menjadi miliknya.
Usai kemenangan tersebut, Jalaluddin menangguhkan hasratnya untuk bersara dan terus bersama-sama Pahang sehingga 2015. Pada 2014, Jalaluddin sekali lagi menikmati kemenangan Piala Malaysia apabila menjuarainya selepas menewaskan Johor Darul Takzim menerusi penentuan sepakan penalti.
Kini selepas 10 tahun berlalu, Jalaluddin kini masih berkhidmat dengan pasukan kesayangannya sebagai salah sebuah barisan kejurulatihan yang diketuai Fandi Ahmad.
Jalaluddin Jaafar mungkin tidak mempunyai karier sehebat pemain lain tetapi kesetiannya terhadap Pahang tidak boleh dipersoalkan. Hasil kesetiaan itu, dia menikmati kesemua kejuaraan yang ada di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram