'Saya pun tak ingat bila kami kalah', Hai-O gembira capai sasaran bawa TFC II ke final Piala MFL


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

TFC II masih belum kalah dalam 10 perlawanan Piala MFL musim ini. — Facebook/Terengganu FC II

PASUKAN yang cukup menghiburkan sepanjang saingan Piala MFL musim ini, Terengganu FC II (TFC II) terus mencuri perhatian pengikut bola sepak tempatan apabila berjaya mara ke perlawanan akhir.

Skuad kendalian bekas penyerang kebangsaan iaitu Hairuddin Omar berjaya mara ke perlawanan akhir Piala MFL selepas menewaskan Kedah Darul Aman B (KDA B) 2-1 di laman sendiri pada perlawanan yang diadakan pada Isnin.

Jaringan daripada Muslihuddin 'Atiq dan Rizuan Musa telah menafikan gol oleh Ebenezer Assifuah untuk menjadikan TFC II pasukan pertama layak ke perlawanan akhir Piala MFL.

Dengan layaknya TFC II ke perlawanan akhir Piala MFL, Hairuddin secara terbuka mengatakan misi peribadinya telah tercapai. Kini, sasarannya terarah untuk menggapai piala pula.

"ALHAMDULILLAH untuk pertama kali, kami adalah pasukan pertama yang berjaya layak ke perlawanan akhir. Memang ini adalah sasaran saya sendiri secara peribadi dan sebagai pasukan.

"Kami ada selama seminggu untuk lakukan persiapan untuk perlawanan akhir. Saya harap pemain-pemain yang cedera dapat kembali kepada pasukan untuk memantapkan lagi pasukan," kata Hairuddin.

395542714_315189711148140_8891643709867101268_n

Hairuddin Omar boleh mensasarkan kejuaraan Piala MFL pula selepas ini. — Facebook/Terengganu FC II

Sejak mengambil alih pasukan, Hairuddin berjaya membentuk TFC II menjadi igauan pihak lawan dan itu terbukti menerusi peningkatan prestasi yang ketara hinggakan mereka berjaya mencatatkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan.

Hairuddin telah menerapkan mentaliti kemenangan dalam skuadnya. Walaupun tidak bermain dengan baik, pastikan kemenangan tetap menjadi milik mereka.

"Sebenarnya saya pun tak ingat bila (kali terakhir) kami kalah. Yang penting adalah pemain-pemain faham yang kami terapkan winning mentaliti tak kira bila beraksi di tempat sendiri atau pun tempat lawan.

"Saya selalu katakan kepada pemain, kalau nak pergi jauh sampai ke perlawanan akhir, perlawanan yang kita main teruk pun kita tak boleh kalah," ujar Hairuddin.

TFC II akan menanti sama ada Johor Darul Takzim II (JDT II), Sri Pahang FC atau PDRM FC yang dilihat mempunyai peluang untuk layak ke perlawanan akhir Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram