Ex-JDT gagal bantu kelab cipta kejutan, dimalukan Al-Hilal di Arab Saudi


  • Podium
  • Selasa, 24 Okt 2023

Al-Hilal menang besar untuk memastikan laluan ke pusingan kalah mati semakin luas. — Facebook/Al-Hilal

SAINGAN Liga Juara-Juara AFC (ACL) kembali bersambung untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan dengan kesemua pasukan mula terdesak mencari tiga mata bagi mencari tempat di pusingan kalah mati.

Dalam saingan di zon Barat, jaguh-jaguh utama Asia mula menunjukkan penguasaan di peringkat kumpulan dan mengukuhkan cengkaman mereka.

Sebagai contoh adalah wakil Arab Saudi, Al-Hilal. Al-Hilal yang merupakan pasukan dibarisi himpunan bintang bola sepak seluruh dunia mempamerkan persembahan cemerlang bertemu pasukan India, Mumbai City.

Al-Hilal yang dibintangi Neymar tidak berdepan masalah untuk menewaskan Mumbai walaupun pemain antarabangsa Brazil itu tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan ketika bertugas bersama negaranya.

Mumbai yang dikuatkan dengan bekas penyerang sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Pereyra Diaz bagaimana pun tidak berhasil untuk mencipta kejutan di Riyadh, Arab Saudi apabila pasukannya dibelasah enam gol tanpa balas.

395412441_884569049699253_6288123240932554613_n

Diaz gagal beri impak bertemu Al-Hilal. — Facebook/Mumbai City

Bekas penyerang Fulham, Aleksandar Mitrovic mencuri tumpuan apabila pemain itu merakamkan hatrik ketika dalam perlawanan ini. Pemain antarabangsa Serbia itu menjaringkan gol pada minit ke-5, 67 dan 80.

Selain daripada kecemerlangan Mitrovic, perlawanan ini turut menyaksikan bekas pemain Lazio, Serge Milinkovic-Savic turut menyertai senarai penjaring dengan menyumbat gol pada minit ke-75.

Dua lagi gol terhasil oleh Mohammed Al-Burayk dan Abdulelah Al-Maliki pada 10 minit terakhir permainan.

Sementara bagi Diaz, ini adalah satu perlawanan yang hendak dilupakan olehnya apabila tidak mampu memberikan sebarang impak buat Mumbai.

Pemain dari Argentina itu jelas tidak mampu berbuat apa-apa sepanjang perlawanan hinggakan tiada satu percubaan berjaya dilakukannya sehinggalah digantikan oleh Jayesh Rane pada minit ke-80. Lebih memalukan, Diaz hanya memperoleh rating 6.4 sahaja menurut laman Sofascore.

Dengan kemenangan ini, Al-Hilal kini menduduki tangga kedua carta kumpulan D dengan tujuh mata, berkongsi jumlah yang sama dengan wakil Uzbekistan iaitu Navbahor cuma dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Sementara Mumbai menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas kalah semula tiga perlawanan pertama ACL. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram